PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.
Malaysia dijadualkan menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari.
“Susulan itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dimulakan pada 26 Februari, di mana saya akan menerima suntikan vaksin itu pada hari itu bersama dengan pasukan petugas barisan hadapan,” katanya ketika melancarkan buku panduan program itu hari ini.
Program suntikan vaksin itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Fasa pertama program itu dijadualkan dari 26 Februari hingg April akan membabitkan petugas barisan hadapan.
Seterusnya, ia diikuti dengan kumpulan berisiko tinggi bagi fasa kedua yang ditetapkan pada April hingga Ogos.
Fasa ketiga program itu akan bermula pada Mei 2021, membabitkan individu dewasa berusia 18 tahun keatas. Fasa ini akan berlanjutan hingga Februari 2022.
Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan untuk mencapai komuniti kelompok menerusi program ini bagi memutuskan rantaian jangkitan dan mengakhiri pandemik Covid-19.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan suntikan vaksin dan mendaftarkan diri apabila tiba giliran dan masanya.
“Ingatkan saudara mara dna rakan anda untuk turut serta. Pastikan kita hadir ketika kita dipanggil untuk menerima dos pertama dan kedua kerana jika kita dilindungi, kita boleh melindungi orang lain terutama mereka yang kita sayang,” katanya.
Dengan pelaksanaan program imunisasi itu, sektor ekonomi seperti pelancongan akan dapat menyambung semula operasi, katanya.
“Kita boleh pergi berjalan dan melawat, boleh bersukan tetapi ia perlu dilakukan dengan norma baharu.
“Ini apa yang saya maksudkan bila saya kata vaksin Covid-19 antara harapan terbesar kita dalam perang terhadap Covid-19.
“Sudah tentu bab baharu boleh dibuka dengan bermulanya program imunisasi pada akhir bulan ini,” katanya.
Buku panduan dilancarkan hari ini mengandungi dasar program berkenaan. Ia juga menjadi rujukan kepada pembuat dasar, mereka yang terbabit dalam pelaksanaan serta rakyat.
Buku itu boleh dimuat turun daripada laman web rasmi kerajaan www.VaksinCovid.gov.my. – 16 Februari, 2021.
Komen