LEBIH 40,000 petugas barisan hadapan di Sarawak dijadual menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama mulai 27 Februari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.
Beliau berkata program vaksinasi di Sarawak itu dibahagikan kepada tiga fasa pengagihan mengikut kumpulan-kumpulan sasar yang ditetapkan dengan petugas barisan hadapan diletakkan di bawah fasa pertama.
“Bagi fasa kedua, ia melibatkan individu berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit ‘ko-morbid’ seperti kencing manis dan darah tinggi manakala fasa ketiga untuk mereka yang berusia 60 tahun ke bawah yang tidak mempunyai penyakit kronik,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata sebanyak 56 pusat vaksin dikenal pasti bagi tujuan melakukan suntikan vaksin di seluruh Sarawak antaranya Hospital Bau, Hospital Lundu, Klinik Kesihatan Singai, Klinik Kesihatan Batu Kawa, Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Klinik Kesihatan Petra Jaya, Klinik Kesihatan Tanah Putih dan Hospital Umum Sarawak.
Dijangka seramai 2.2 juta rakyat Sarawak akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Sementara itu, sebanyak 246 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri itu meningkat kepada 6,832 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Amar Douglas Uggah Embas berkata peningkatan kes itu berikutan pengesanan kes secara aktif yang dilakukan di beberapa kawasan ekoran peningkatan penularan wabak itu dalam kalangan komuniti. – Bernama, 15 Februari, 2021.
Komen