DUA kes jangkitan koronavirus yang menyebabkan perintah berkurung dikuatkuasakan bandaraya terbesar di New Zealand berpunca daripada varian UK dan merupakan yang pertama dikesan di negara itu, kata pihak berkuasa.
Kementerian Kesihatan berkata penjujukan genom mengenal pasti jangkitan di Auckland adalah berpunca daripada strain yang pertama kali ditemui di UK dan setakat ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan di New Zealand.
“Ini menguatkan keputusan untuk mengambil tindakan pantas dan tegas mengenai kes-kes terbaru bagi mengesan dan menghentikan kemungkinan penularan,” kata kementerian itu.
Belum ada sebarang keputusan daripada kes ketiga yang berkait dengan kluster Auckland dari sebuah keluarga yang sama yang dikesan pada Ahad dan mendorong Perdana Menteri Jacinda Ardern menguatkuasakan perintah berkurung selama tiga hari di Auckland.
Ia merupakan penutupan pertama sejak hampir enam bulan lalu di negara berkenaan yang menerima banyak pujian kerana berjaya mengawal pandemik dan hanya merekodkan 25 kematian dari lima juta penduduk.
Hampir dua juta penduduk Auckland diminta untuk berada di rumah bermula tengah malam, apabila perintah berkurung tahap tiga dikuatkuasakan.
Semua sekolah dan perniagaan tidak penting terpaksa ditutup.
Bandaraya itu turut diasingkan dengan sekatan dibuat di laluan keluar masuk selama tiga hari.
Sementara itu di bahagian lain negara berkenaan kekal pada amaran peringkat kedua yang mana orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam dan perhimpunan terhad kepada maksimum 100 orang dalam satu masa.
“Saya tahu semua merasakan perkara yang sama,” kata Ardern ketika mengumumkan langkah berkenaan.
“Tetapi kita mesti ingat bahawa kita pernah alaminya, ini bermakna kita tahu bagaimana untuk sama-sama keluar daripada masalah ini.” – AFP, 15 Februari, 2021.
Komen