GERAKAN tidak mampu memberi impak pada Pilihan Raya Umum ke-15 kerana parti itu perlukan lebih ramai pendukung, kata penganalisis.
Mengulas mengenai bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kini bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), penganalisis berkata jika Gerakan mahu menjadi pemain dalam politik negara, parti itu perlukan penjenamaan semula.
Jika tidak, kemasukan Gerakan ke dalam PN hanya bertujuan menunjukkan gabungan kerajaan itu tidak berpusat kepada Melayu-Islam dan mahu dilihat parti gabungan pelbagai kaum.
Profesor Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata memandangkan senario politik hari ini, parti itu akan mendapat kerusi kurang berbanding kerusi yang ditandingi mereka pada PRU14.
“Gerakan perlu realistik jika nak bertanding beberapa kerusi yang ditandingi ada PRU14, kerana rundungan kerusi dengan PN akan ada perubahan.
“Mereka dapat kerusi PRU14 pun kerana kerjasama dengan BN,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata Gerakan telah diterima masuk dalam gabungan PN.
Pada Jumaat lalu, Presiden Gerakan Dominic Lau telah mengumumkan sokongan partinya kepada PN bagi memastikan kejayaan dalam pilihan raya akan datang.
Kata Dominic, mereka sudah sedia untuk kerjasama dengan semua parti untuk pastikan gabungan Bersatu, PAS, Star dan SAP menang dalam PRU15.
Pada PRU14, Gerakan kalah teruk apabila kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandinginya kecundang.
Awang berkata Gerakan perlu ubah caranya, kerana calon mereka akan berdepan calon DAP dan PKR.
“Pembangkang ada banyak isu relevan warga yang mereka angkat, dan ada calon sesuai. Malangnya, Gerakan nampak ketinggalan dibanding pembangkang yang lebih segar.
Sentimen ketika ini juga akan menyebabkan Gerakan akan berdepan kesukaran untuk menarik undi, kerana bakal menghadapi pembangkang yang ketika ini dilihat lebih kukuh.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemasukan Gerakan ke dalam PN merupakan satu mata kepada PN dalam menaikkan jenama mereka - iaitu untuk dilihat gabungan parti pelbagai kaum.
“Untuk ini, PN ada sedikit kelebihan.” – 15 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen