Malaysia catat rekod tertinggi kes pulih Covid-19


Ravin Palanisamy

Malaysia melaporkan hampir dua kali ganda jumlah kes pulih hari ini dengan 4,525 pesakit pulih berbanding 2,464 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam terakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021. 

MALAYSIA melaporkan hampir dua kali ganda jumlah kes pulih hari ini dengan 4,525 pesakit pulih berbanding 2,464 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata jumlah kes pulih yang dilaporkan hari ini juga mengatasi jumlah kes pulih tertinggi yang pernah direkodkan pada 31 Januari lepas.

Ini menjadikan hari keempat berturut-turut kes pulih mengatasi jumlah jangkitan baharu.

Sementara itu jumlah kes aktif pula menurun kepada 49,490 dengan 260 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 111 memerlukan alat sokongan pernafasan.

Menjelaskan mengenai jumlah kes baharu, Noor Hisham berkata sebanyak 2,461 adalah jangkitan tempatan sementara tiga adalah kes import. 

Noor Hisham berkata daripada 2,461 jangkitan tempatan, 1,705 melibatkan rakyat Malaysia dan 756 adalah warga asing.

Ketiga-tiga kes import melibatkan dua penduduk tempatan dan seorang warga asing.

Selangor sekali lagi menyumbang jumlah kes tertinggi pada 1,103 diikuti oleh Johor dengan 492 kes.

Sarawak menjadi negeri ketiga menyumbang kes tertinggi dengan 161 kes.

Perlis pula tidak melaporkan sebarang kes.

Di antara keseluruhan kes, Selangor mendahului dengan 86,943 kes diikuti oleh Sabah dengan 51,332 dan Kuala Lumpur 31,822.

Selain itu Noor Hisham berkata terdapat tujuh kematian dilaporkan hari ini menjadikan angka kematian seramai 965 orang.

Beliau berkata kesemua mangsa adalah rakyat Malaysia.

Tiga kematian dilaporkan di Sarawak, dua di Selangor dan masing-masing satu di Sabah dan Pulau Pinang.

Ketujuh-tujuh mangsa mempunyai sejarah penyakit dengan yang paling muda berusia sembilan tahun dan yang tertua berusia 83 tahun. – 14 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen