Polis siasat Annuar kes langgar SOP, kata laporan


Annuar pada bulan lalu juga meraih kontroversi apabila dirakam sedang menjalani kegiatan berjalan kaki sambil membawa tongkat bersama dua lagi individu di satu kawasan kejiranan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa dipanggil polis untuk memberi keterangan mengenai dakwaaan melanggar peraturan kawalan pandemik, lapor Free Malaysia Today.

Laporan memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin itu menyebut, ia berkaitan gambar yang tular menunjukkan menteri itu menjamu selera bersama lima lagi individu.

“Kertas siasatan sudah dibuka,” kata Saiful Azly yang menyebut, siasatan dimulakan ekoran aduan yang diterima di Cheras, di mana kejadian itu didakwa berlaku.

Prosedur operasi standard terbaharu (SOP) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menetapkan hanya dua individu dibenarkan berada di setiap meja di kedai makan.

Annuar pada bulan lalu juga meraih kontroversi apabila dirakam sedang menjalani kegiatan berjalan kaki sambil membawa tongkat bersama dua lagi individu di satu kawasan kejiranan.

Susulan itu, beliau menjelaskan pertemuan bersama dua individu berkenaan hanyalah kebetulan dan menafikan melanggar SOP.

Dalam gambar itu, ketiga-tiganya juga ditunjukkan tidak memakai pelitup muka.

Tindakan Annuar yang sering kali meraih kontroversi kerana dakwaan melanggar SOP itu meraih pelbagai kritikan di media sosial, termasuk dari kalangan pemimpin parti dalam kerajaan./

Antaranya, anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang berkata tindak-tanduk Annuar itu mencemarkan lagi imej Perikatan Nasional.

“Jangan tambah koyak imej PN yang semakin terkoyak,” kata bekas timbalan menteri itu.

“Terkial-kial Annuar mencari alasan kononnya mereka bertiga datang dari arah berbeza tetapi bertembung secara tidak sengaja.

“Pandai cari alasan. Soalnya kenapa terus jalan bersama? Tiga tiga pakai tongkat tetapi tidak pakai face mask. Ada-ada sahaja alasan,” kata Puad

Minggu lalu, Puad mencuri perhatian kerana mengkritik keputusan kerajaan mengubah tempoh kuarantin wajib bagi menteri yang pulang dari luar negara kepada tempoh pemerhatian tiga hari sahaja.

Putrajaya mengumumkan perubahan baharu itu sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pulang dari Indonesia, salah satu negara dengan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di rantau ini.

Seorang menteri dalam Kabinet Muhyiddin, Khairuddin Aman Razali dari PAS pada tahun lalu disiasat kerana tidak menjalani kuarantin wajib sebaik pulang dari Turki.

Kes itu antara isu yang menyebabkan Putrajaya dituduh mengamalkan layanan berbeza ke atas pemimpin dan rakyat biasa dalam menguatkuasa undang-undang kawalan pandemik. – 14 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen