PUTRAJAYA akan menetapkan harga siling untuk ujian Covid-19 RT-PCR dan kit ujian pantas antigen (RTK) yang dijalankan di sektor swasta, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba kepada Code Blue.
“Harga siling akan digunakan untuk RT-PCR dan RTK antigen. Kami sedang mengusahakan jumlahnya. Terdapat banyak parameter untuk caj - ada yang terperinci, ada yang menerima bekalan mahal dari pelbagai sumber,” katanya kepada portal berita kesihatan berkenaan.
Pada masa ini ujian RT-PCR berharga antara RM240 hingga RM480 di sektor swasta sementara RTK antigen berharga sekitar RM180 di hospital swasta dan RM130 di klinik swasta dan makmal.
Adham berkata Kementerian Kesihatan juga ingin memperluas ujian kepada orang ramai.
Ujian RT-PCR berharga RM150 sementara RTK antigen akan berharga RM60.
Ketika ini ujian di kemudahan kesihatan awam adalah percuma bagi mereka yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa kesihatan termasuk kontak rapat dengan kes positif Covid-19.
“Di bawah Ordinan Darurat, kami akan memastikan adanya ujian lebih mudah, baik di sektor swasta atau melalui KKM,” kata Dr Adham.
Beliau menambah KKM sedang mencari kaedah persampelan baharu yang dapat dilaksanakan selain sapuan hidung dan tekak.
“Ia disebut ‘deep-throat saliva’,” katanya menggambarkannya sebagai air liur yang dihasilkan dari dalam tekak.
Selain itu katanya Universiti Malaysia Perlis (Unimap) juga sedang mengusahakan alat elektrik untuk mengesan Covid-19. – 14 Februari, 2021.
Komen