Fomca gesa bank lanjut moratorium hingga akhir tahun


Ravin Palanisamy

Fomca mencadangkan lanjutan moratorium automatik sehingga akhir tahun susulan tiada kepastian mengenai tempoh PKP, manakala lebih 80% penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

PERSEKUTUAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan moratorium menyeluruh secara automatik untuk mengurangkan beban peminjam yang terus terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presidennya Dr Marimuthu Nadason mencadangkan lanjutan moratorium sehingga akhir tahun susulan tiada kepastian mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala lebih 80% penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan.

“Situasi ketika ini mungkin tidak akan bertambah baik sehinggalah hampir semua penduduk mendapat vaksin, yang dijangka tahun depan.

“Suku pertama tahun depan masih jauh lagi. Sementara itu adakah rakyat perlu menderita?

“Jadi, dalam keadaan ini kerajaan mesti melaksanakan moratorium menyeluruh sehingga akhir tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Malaysia sekali lagi melaksanakan PKP mulai 13 Januari berikutan lonjakan kes Covid-19. Ia mulanya dijadual tamat pada 4 Februari lalu, namun dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Selepas moratorium menyeluruh ditamatkan pada September tahun lalu, Putrajaya mengarahkan bank memberi moratorium bersasar kepada peminjam dari golongan B40 dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman di bawah RM150,000.

Menteri Kewangan TengkuZafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi peminjam dari golongan M40 mereka hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik, dan kelulusan diberi secara automatik.

Bagi peminjam yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing, tambahnya.

Marimuthu seterusnya mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mahu melaksanakan moratorium automatik seperti tahun lalu, memandangkan tiada tanda ekonomi negara akan pulih .

“Masih tiada kepastian bila PKP akan ditamatkan dan rakyat boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa.

“Oleh itu, kerajaan harus ambil peduli nasib rakyat dan beri moratorium pinjaman,” katanya.

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus baru-baru ini berkata moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat.

Langkah itu katanya akan mengurangkan penampan bank dan sekali gus menyukarkan individu serta perniagaan untuk memperoleh pinjaman baharu.

Menurut Nor Shamsiah, kekukuhan dan keuntungan bank penting untuk jutaan rakyat Malaysia, yang bukan sahaja sebagai pendeposit malah sebenarnya pemegang saham secara langsung dari segi simpanan dan pegangan mereka dalam institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Bumiputera, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji.

“Pendekatan bersasar adalah lebih baik berbanding dengan moratorium menyeluruh memandangkan ia memberi pilihan kepada peminjam, (membolehkan mereka) membuat keputusan kewangan masing-masing,” tambahnya. – 14 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen