LARANGAN perjalanan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan industri perhotelan di Malaysia menguncup, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
MAH berkata semakin lama larangan itu dilaksanakan, hotel-hotel di Malaysia akan menyaksikan lebih banyak penutupan dan menghentikan operasi mereka.
Ketua Eksekutif MAH, Yap Lip Seng memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak PKP pada bulan Mac tahun lalu, lebih 100 hotel ditutup sama ada secara sementara atau kekal.
“Lebih banyak hotel terpaksa membuat keputusan untuk tutup tahun ini sejak PKP 2.0 diumumkan.
“Sekiranya larangan perjalanan rentas negeri dilanjutkan tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan, kami jangka akan lebih banyak penutupan hotel, antara 10% hingga 20%. Ekoran itu, akan lebih ramai orang hilang kerja,” jelasnya
Yap berkata MAH memiliki kira-kira 1,000 ahli di seluruh negara, katanya, setiap dua minggu tempoh PKP, industri perhotelan dijangka hilang pendapatan minimum RM300 juta.
Beliau berkata industri perhotelan mengalami pemulihan ketika cuti akhir tahun lalu dengan tempahan memuncak sehingga 43% sejurus perjalanan rentas negeri dibenarkan.
Namun, pemulihan itu tidak lama, tempahan kemudian menurun di bawah 20% sejak pengumuman PKP 2.0 pada awal Januari lalu.
Yap berkata ketika ini, banyak hotel terjejas kerana sempadan masih ditutup dan dengan pelancong tempatan pula terlalu minimum.
“Hotel di bandar-bandar utama terjejas, kerana kebanyakannya bergantung pada pelancong antarabangsa.
“Hotel-hotel di destinasi domestik yang popular seperti Pulau Pinang, Langkawi, Perak dan Pahang juga mengalami masalah tiada tetamu.
“Sabah juga terjejas teruk dengan peningkatan kes sejak akhir September tahun lalu,” katanya lagi.

Pada hari Jumaat, Malaysian Association of Hotel Owners memohon kerajaan untuk membenarkan pihak hotel membawa masuk tetamu untuk tempahan bilik penginapan dan mesyuarat.
Presidennya, Teo Chiang Hong berharap kerajaan membatalkan larangan perjalanan rentas negeri dan daerah bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan domestik.
Kata beliau, sejak sempadan negara ditutup untuk pelancong asing, hotel di negara ini bergantung sepenuhnya pada pelancong domestik bagi menghasilkan pendapatan.
“Jika tidak, banyak hotel tidak lagi dapat pertahankan perniagaan atau boleh bertahan lebih lama. Kami jangka sejumlah hotel akan ditutup. “
Pada 25 Januari, Hotel Equatorial Penang berkata bahawa mereka akan menutup operasi mulai 31 Mac memandangkan keadaan perniagaan yang gawat disebabkan pandemik Covid-19.
Sementara itu, beberapa hotel lain terpaksa menumpukan perniagaan jualan makanan dan minuman untuk terus bertahan.
November lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejumlah 204 pengusaha pelancongan dan hotel menutup perniagaan mereka sejak bulan Mac tahun lalu.
Yap berkata, selain menyuarakan keperluan industri dan memberikan maklumat susulan kepada kerajaan, MAH juga telah memulakan “inisiatif Malaysia Bersih & Selamat”.
“Sijil kebersihan dan keselamatan adalah untuk mempersiapkan industri untuk menerima tetamu dengan jaminan keselamatan tambahan.
“MAH juga bekerjasama dengan pelbagai rakan termasuk Tourism Malaysia bagi promosi pelancongan domestik dan MAH turut melancarkan kempen menginap di hotel domestik pada akhir Disember tahun lalu dengan subsidi kerajaan.”
Berhubung bantuan kerajaan, Yap berkata Putrajaya telah melancarkan rangkaian rancangan rangsangan ekonomi dan program bantuan, namun dukungan secara terus dan khusus untuk pelancongan dan industri hotel adalah kurang.
Katanya, untuk melancarkan pemulihan industri pelancongan, pekerja pelancongan dan hotel mesti diberi keutamaan dalam program vaksinasi Covid-19.
Ini, katanya, akan membina keyakinan dan memberi jaminan kepada pelancong ketika sempadan negara dibuka semula. – 14 Februari, 2021.
Komen