PRESIDEN Iran Hassan Rouhani memberi amaran mengenai gelombang keempat Covid-19 berikutan peningkatan kes di beberapa kawasan di Timur Tengah yang dilanda teruk dengan penularan wabak.
“Ini adalah peringatan untuk kita semua,” kata Rouhani dalam satu kenyataan melalui televisyen.
Beliau berkata beberapa bandar di wilayah barat daya Khuzestan kini “merah” setelah berminggu-minggu tahap amaran rendah di seluruh negara.
“Ini bermaksud permulaan menuju gelombang keempat. Kita semua perlu berwaspada,” tambah Rouhani.
Negara yang mempunyai lebih daripada 80 juta orang itu telah kehilangan hampir 59,000 nyawa akibat Covid-19.
Secara rasminya Iran mencatatkan kurang daripada 7,000 jangkitan setiap hari sejak penghujung Disember, namun jumlahnya telah mengatasi tahap ini sejak awal Februari.
Kematian harian berada di bawah 100 pada awal Januari, tahap terendah sejak Jun.
Ucapan Rouhani muncul sehari selepas Iran menerima 100,000 dos vaksin Sputnik V Rusia “lebih awal dari jadual” pada Jumaat, kata jurucakap kementerian kesihatan Kianoush Jahanpour.
Iran memulakan kempen vaksinasi pada Selasa, dengan penghantaran pertama tiba pada 4 Februari.
Republik Islam itu telah membeli dua juta dos vaksin Rusia, kata Jahanpour.
Menteri Kesihatan Saeed Namaki berkata Iran juga akan menerima 4.2 juta dos vaksin oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford yang dibeli melalui mekanisme vaksin antarabangsa Covax. – AFP, 13 Februari, 2021.
Komen