Jumlah kes sembuh atasi kes Covid-19 baharu hari ini


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, setelah 16 hari berturut-turut, hari ini negara melaporkan kematian satu digit dengan lima kematian yang kesemuanya merupakan rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2021.

KES sembuh mengatasi kes Covid-19 baharu hari ini ketika Malaysia melaporkan 3,515 kes pulih berbanding 3,499 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, setelah 16 hari berturut-turut, hari ini negara melaporkan kematian satu digit dengan lima kematian yang kesemuanya merupakan rakyat Malaysia.

Ini juga merupakan jumlah kematian terendah dalam tempoh 25 hari ini. Pada 18 Januari lalu, Malaysia melaporkan empat kematian.

Noor Hisham berkata, dari kes baharu hari ini, satu adalah kes import dan selebihnya adalah jangkitan tempatan.

“Satu-satunya kes import itu melibatkan warga tempatan.

“Sementara itu, dari 3,498 jangkitan tempatan, 1,871 melibatkan rakyat Malaysia dan 1,627 adalah warga asing,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Sekali lagi, untuk hari ke-17 berturut-turut, Selangor melaporkan kes tertinggi mengikut negeri dengan 1,345 kes.

Ini diikuti Johor dengan 802 kes dan Kuala Lumpur dengan 511 kes.

Secara keseluruhannya, Selangor mencatat 85,850 kes, diikuti Sabah dengan 51,216 kes dan Kuala Lumpur dengan 31,668 kes.

Johor dengan cepat menghampiri tiga teratas keseluruhan kes mengikut negeri, memandangkan negeri selatan itu kini melaporkan 30,345 kes keseluruhan.

Noor Hisham berkaya jumlah kes aktif sehingga hari ini berjumlah 51,558 kes, 263 daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 118 daripadanya mendapat bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut mengenai kes kematian hari ini, Noor Hisham berkata dua kematian dilaporkan di Selangor dan masing-masing satu kematian di Sabah, Johor dan Terengganu.

Empat daripada mangsa adalah lelaki, dengan paling tua berusia 68 tahun manakala paling muda, mengalami limfoma, berusia 20 tahun.

Satu-satunya mangsa wanita berusia 60 tahun dari Terengganu. Beliau menghidap penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, sirosis hati dan aldosteronisme.

Jumlah kematian di negara kini adalah 958. – 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen