RUMAH ibadat bukan Islam (RIBI) di negara ini dibenarkan untuk dibuka semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kementerian Perpaduan Negara.
Kerajaan berkata bahawa rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 12 hingga 18 Februari.
Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membenarkan premis tersebut beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Tempat-tempat ibadat yang dibuka mesti mematuhi SOP termasuk memastikan jumlah pengunjung tidak melebihi 30 orang dalam satu masa.
“RIBI perlu menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti keagamaan.
“Penggunaan MySejahtera digunakan bagi tujuan rekod di kawasan yang mempunyai liputan internet yang luas. Pengecualian imbasan kod MySejatera yang hadir ke RIBI diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar,” katanya dalam satu kenyataan.
Kuil Cina, tokong dan gereja dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang, sementara kuil Hindu dibenarkan beroperasi sebanyak dua sesi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan 6 petang hingga 9 malam.
Bagi premis gurdwara, ia dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.
Kementerian Perpaduan berkata penggunaan SOP adalah tertakluk kepada persetujuan Majlis Keselamatan Negara.
Kementerian juga menasihatkan semua pengunjung rumah ibadat di seluruh negara mematuhi SOP bagi memastikan tidak ada penularan wabak dan berganding bahu untuk membendung penyebaran virus. – 12 Februari, 2021.
Komen