PRESIDEN Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata persempadanan baharu kawasan pilihan raya tidak akan menjamin kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu ditolak oleh pengundi.
Bekas timbalan perdana menteri yang berpengalaman mengetuai jentera BN itu menambah, persempadanan baru itu merupakan salah satu “taktik kotor” parti tersebut untuk kekal berkuasa.
“Pada waktu ini pun mereka sedang berusaha untuk meluluskan persempadanan baharu kawasan pilihan raya, amat berat sebelah.
“Namun kita yakin jika majoriti besar rakyat menolak BN, persempadanan kawasan pilihan raya baru tidak akan dapat menyelamatkan mereka.”
Tambahnya Umno dan BN akan melakukan apa saja dalam pilihan raya umum akan untuk kekal berkuasa kerana bimbang segala penyelewengan yang dilakukan sebelum ini akan terdedah
“Mereka mahukan kemenangan bukan untuk menyelamatkan negara tetapi untuk menyelamatkan diri mereka sendiri,” katanya ketika berucap kepada perwakilan di Mesyuarat Agung Tahunan parti Bersatu di Shah Alam hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa SPR untuk lebih adil dan mendesak kerajaan membenarkan agensi luar iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Seketariat Komanwel di Malaysia untuk memerhati perjalanan pilihan raya umum akan datang.
“Selain itu kategori anggota perkhidmatan kerajaan yang layak menjadi pengundi pos juga ditambah.
“Kita jangkakan mereka akan cuba menggunakan proses pengundian pos dan pengundian awam untuk menipu dalam pilihan raya.”
Rabu lalu, SPR mengadakan sesi pendengaran awam mengenai persempadanan semula di Selangor yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam. – 30 Disember, 2017.
Komen