Mahkamah bergerak Nigeria dakwa pengingkar peraturan Covid-19


Nigeria mewajibkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat awam, namun tidak semua rakyatnya patuh pada peraturan tersebut. – Gambar AFP, 13 Februari, 2021.

PIHAK berkuasa di Abuja, Nigeria menubuhkan mahkamah bergerak untuk mendakwa orang ramai yang melanggar peraturan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Nigeria kini dilanda gelombang kedua jangkitan dengan 143,516 kes dan 1,710 kematian dilaporkan sehingga kini.

Negara itu mewajibkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat awam. Bagaimanapun tidak semua rakyatnya patuh pada peraturan tersebut.

Pasukan khas Covid-19 Abuja menubuhkan mahkamah bergerak awal bulan ini di Eagle Square, tidak jauh dari Mahkamah Agung.

“Hari ini kita dakwa 46 orang, tiga di bawah umur,” kata Attah Ikharo, pengerusi pasukan khas itu, Rabu lalu.

“Mereka yang mengaku bersalah (kerana tidak memakai pelitup muka) didenda 2,000 naira,” kata seorang peguam, Nnamdi John.

Hukuman lain termasuk khidmat masyarakat dan penjara.

Bulan lalu, Presiden Muhammadu Buhari menandatangani akta baharu yang memperuntukkan penjara enam bulan ke atas pesalah yang melanggar peraturan mengekang Covid-19.

Pihak berkuasa juga bercadang untuk menubuhkan dua lagi mahkamah bergerak dalam minggu ini untuk  mengurangkan penularan wabak.

Varian baharu koronavirus dikesan di Nigeria sejak beberapa bulan lalu, namun masih kurang jelas sama ada ia lebih mudah berjangkit.

Nigeria dijangka menerima 16 juta dos vaksin AstraZeneca menerusi program Covax pada hujung bulan ini. – AFP, 13 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen