KAUM wanita dan kanak-kanak antara 56 rakyat Malaysia yang masih terkandas di Syria kerana usaha membawa mereka pulang masih seperti telur dihujung tanduk, kata sumber dari bahagian anti-keganasan di Bukit Aman.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, wanita dan kanak-kanak berlindung di beberapa kem kemanusiaan di Syria sementara kaum lelaki bersenjata menentang rejim Syria di bawah panji Negara Islam (IS) sedang dalam penjara.
“Masalahnya sekarang ini, mereka yang mengawal kem dan penjara tidak bersekutu dengan kerajaan Syria dan Malaysia tidak mengiktiraf mereka. Kami tidak ada hubungan diplomatik dengan kumpulan itu.
“Oleh itu, usaha untuk membawa mereka pulang telah menemui jalan buntu, tetapi kami masih bekerjasama dengan rakan sejawat dan kumpulan perisik lain,” kata sumber.
Dipercayai mereka telah terdampar di Syria lebih dari dua tahun.
Mereka itu pada mulanya pergi ke Syria untuk bertempur bersama Abu Bakar Al-Baghdadi, ketua IS yang terbunuh dalam serangan udara Syria pada 2019.
Ada lelaki yang membawa isteri dan anak-anak mereka ketika mereka mahu mewujudkan kerajaan khalifah di Syria.
Salah seorang rakyat Malaysia paling terkenal yang pergi ke Syria ialah Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.
Wanndy bertanggungjawab merekrut rakyat Malaysia melakukan jihad di Syria. Dia pergi ke Syria dengan isterinya pada tahun-tahun awal konflik.
Dikenali sebagai Abu Hamzah Al-Fateh, dia dipercayai menjadi dalang beberapa serangan di Malaysia, termasuk di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor pada 2016.
Dia terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di Raqqa pada 2017. Isterinya dilaporkan telah berkahwin semula dengan seorang pengganas IS Belgium.

Tiada struktur IS di sini
Sementara itu ketika ditanya mengenai status 16 rakyat Malaysia yang ditahan ketika pulang dari Syria, sumber itu memberitahu 10 lelaki ketika ini sedang menjalani hukuman penjara, sementara dua wanita dan empat kanak-kanak telah dibebaskan.
“Salah seorang wanita itu, kami dapat tahu telah ditipu suaminya untuk pergi ke Syria. Kami telah bebaskan, sementara wanita lain sedang dipantau.
“Dia tinggal bersama orang tuanya tetapi dia dipakaikan alat pemantau agar kami dapat mengesannya, dan dia wajib melaporkan ke balai polis terdekat dua kali seminggu.
“Kanak-kanak pula, mereka tinggal bersama saudara mereka,” kata sumber itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak sebaliknya memberitahu The Malaysian Insight keadaan masih terkawal.
“Kami berjaya mengawal keadaan. Walaupun pandemik, polis, terutamanya E8, sedang memantau situasi dan ianya masih terkawal.
“IS tak ada struktur di Malaysia tidak seperti di negara lain di mana mereka mempunyai struktur sendiri. Banyak dari mereka diilhamkan oleh cerita yang ditulis oleh Wanndy tetapi setelah dia meninggal, naratifnya jadi perlahan.
“Bagaimanapun, kami tidak ambil mudah begitu saja,” kata wanita pertama yang mengetuai bahagian anti-pengganas itu.
Pakar keganasan Dr Ahmed El-Muhammdy mencerminkan sentimen Normah, dengan berkata E8 telah menggunakan pendekatan pencegahan dan bukannya mendakwa dengan segera.
“Pemantauan ketat oleh E8 telah membantu menenangkan keadaan. Ancamannya sangat rendah sekarang. Mungkin juga ada kaitannya dengan pandemik Covid-19.
“Tetapi pendekatan pencegahan yang diambil oleh polis telah menyumbang kepada ancaman rendah dari anggota IS atau simpatisan,” kata ahli akademik itu.
Perang di Syria bermula setelah warganya memutuskan untuk memprotes pemerintahan Bashar Al-Assad pada 2011.
Konflik dalaman kemudiannya berubah menjadi perang saudara sekali gus menjadi pertempuran skala besar antara pelbagai kumpulan agama di negara itu.
Pengganas asing mula tiba di Syria tidak lama selepas perang meletus. Terdapat juga pengganas luar yang bergabung dengan kumpulan militan anti-IS.
Sejak kematian Al-Baghdadi, banyak penganalisis berkata IS telah kalah dalam pertempuran di Syria tetapi beberapa serangan keganasan di Eropah dalam beberapa tahun terakhir menunjukkan ideologi itu telah diterima secara meluas oleh radikal yang tinggal di negara-negara barat. – 13 Februari, 2021.
Komen