13 kluster daripada 14 kluster Covid-19 baharu yang dilaporkan hari ini dikaitkan dengan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan ini jumlah keseluruhan kluster aktif kini berjumlah 484.
Katanya, kluster Kampung Teluk yang melaporkan 21 kes adalah satu-satunya kluster yang diklasifikasikan sebagai penyebaran dalam komuniti.
Kes indeks kluster di Perak ini disahkan positif setelah menjalani ujian saringan di tempat kerja, katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Johor mencatat jumlah kluster tempat kerja terbanyak dengan kluster Jalan Seelong sahaja melaporkan sebanyak 327 kes.
Katanya, empat kluster lain di Johor adalah kluster Jalan Perindustrian Elektronik (25), Jalan Besar Pontian (64), Ladang Pekan (18) dan Perindustrian Pelepas (32).
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Perak dan Selangor masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja.
Katanya, kluster Jalan Jelapang dan Perusahan Tiga di Perak masing-masing melaporkan 21 kes manakala tapak pembinaan Damar dan Taman Industri di Selangor masing-masing mencatatkan 64 dan 16 kes.
Dr Noor Hisham berkata, Kuala Lumpur, Melaka, Kedah, Kelantan dan Perak, masing-masing melaporkan satu kluster.
Beliau juga mengumumkan bahawa lima kluster telah disahkan tidak aktif.
Dr Noor Hisham berkata kluster itu adalah kawasan pembinaan Batu 39, Palut, Cergas, Damai, Lingkaran Lintang, Ladang Matamba, dan Rengit Sentral. – 12 Februari, 2021.
Komen