PKPD di pusat pemulihan di Perak, 3 kampung di Terengganu


Ismail Sabri berkata pusat pemulihan dan kuarters kakitangan di Batu Gajah dan tiga kampung di Besut, Terengganu akan dikenakan PKPD bermula 14 Februari sehingga 27 Februari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2021.

EMPAT kawasan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang penularan Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata pusat pemulihan dan kuarters kakitangan di Batu Gajah dan tiga kampung di Besut, Terengganu akan dikenakan PKPD bermula 14 Februari sehingga 27 Februari.

Katanya tiga kampung itu adalah Kg Darau-Awek, Kg Padang Baloh dan Kg Lepan Kejor di Terengganu.

“Kementerian Kesihatan telah membuat 81 ujian saringan di Batu Gajah dan daripada jumlah itu, 29 didapati positif Covid-19. Kita masih menunggu keputusan untuk 45 yang lain.

“Daripada 570 ujian yang dibuat di kampung di Terengganu, 21 daripadanya dikesan positif Covid-19,” kata Menteri Kanan Keselamatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya semalam 680 individu telah ditahan kerana melanggar PKP dan daripada jumlah itu, 610 telah dikenakan kompaun manakala 59 lagi direman.

Antara kesalahan itu seperti tidak mengikut penjarakan fizikal (146), perjalanan merentas daerah/negeri tanpa kebenaran (117), tidak memakai pelitup muka (86), gagal menyediakan alat untuk merakam butir-butir pelanggan (64), premis beroperasi di luar waktu yang dibenarkan atau tanpa kebenaran (23).

Melalui Ops Benteng yang melibatkan polis, angkatan bersenjata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Ismail Sabri berkata, 21 pendatang tanpa izin ditahan, dan 10 kenderaan darat disita.

Beliau juga berkata 9,138 pekerja asing diperiksa semalam, dengan 120 daripadanya disahkan positif Covid-19. – 12 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen