Melbourne arah perintah berkurung selama 5 hari


Pihak berkuasa Melbourne mengeluarkan arahan perintah berkurung di bandar raya ini selama lima hari bermula hari ini berikutan penularan Covid-19. Gambar EPA, 12 Februari, 2021.

PIHAK berkuasa Melbourne mengeluarkan arahan perintah berkurung di bandar raya ini selama lima hari bermula hari ini berikutan penularan Covid-19.

Berdasarkan arahan itu, kira-kira lima juta rakyat di bandar raya kedua terbesar di Australia tidak dibenarkan keluar rumah selama lima hari dari tengah malam kecuali petugas perkhidmatan yang diperlukan.

Ketua Menteri Victoria Daniel Andrews berkata perintah berkurung itu perlu dilakukan bagi mengawal penularan virus terutama membabitkan varian baharu dari United Kingdom yang berpunca dari pusat kuarantin yang menempatkan pelancong asing yang tiba di Australia.

“Perintah berkurung ini bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi membendung varian baharu Covid-19 yang lebih mudah menjangkiti.

“Saya yakin dengan tindakan yang diambil ini, kita berupaya melandaikan lengkuk penularan, sekali gus mengekangnya,” katanya.

Andrew berkata Kejohanan Tenis Terbuka Grand Slam yang dijadualkan berlangsung minggu ini akan diadakan tanpa kehadiran penonton.

Beliau berkata Kejohanan Tenis Terbuka akan dianggap sebagai “tempat kerja” yang dapat beroperasi dengan kakitangan yang sangat terhad.

Melbourne mengenakan 100 hari perintah berkurung tahun lalu bagi mengekang wabak koronavirus sebelum menjangkiti ribuan rakyat dan membunuh kira-kira 800 orang. Perintah berkurung itu berakhir pada akhir Oktober.

Australia menjadi antara negara yang paling berjaya di dunia yang membendung penularan virus dengan 900 kematian untuk populasi 25 juta. – AFP, 12 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen