KEMATIAN akibat Covid-19 di Afrika meningkat 40% berbanding bulan lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, ketika jumlah mangsa di benua itu menghampiri 100,000 orang.
“Lebih 22,300 kematian dilaporkan di Afrika dalam tempoh 28 hari terakhir, dibandingkan dengan hampir 16,000 kematian dalam 28 hari sebelumnya,” kata pejabat WHO Africa yang berpusat di Republik Congo, Brazzaville.
“Ini berlaku ketika Afrika bertarung dengan varian baru yang lebih pantas menular dan bersiap untuk program vaksinasi terbesar,” kata agensi PBB dalam satu kenyataan selepas sidang media maya.
Jangkitan koronavirus pertama di Afrika dikesan pada Februari tahun lalu. Lebih 3.7 juta kes direkodkan sejak itu, dengan 96,000 kematian, menurut angka terbaru dikeluarkan oleh WHO Africa pada Khamis.
“Benua itu dijangka mencapai 100,000 kematian dalam masa beberapa hari akan datang,” tambah WHO.
“Peningkatan kematian akibat Covid-19 yang kita lihat adalah tragis, tetapi juga tanda amaran yang mengganggu bahawa pekerja kesihatan dan sistem kesihatan di Afrika semakin sampai tahap maksimum,” kata pengarah WHO Afrika Matshidiso Moeti dalam kenyataan itu.
Walaupun dikhuatiri akan diserang dengan teruk, Afrika menyaksikan kes berkurangan sedikit berbanding kebanyakan negara semasa fasa awal wabak ini.
“Pada gelombang kedua ketika kes melonjak jauh melebihi kemuncak dialami pada gelombang pertama, kemudahan kesihatan amat terbeban,” kata WHO.
Dengan keraguan vaksin yang tinggi di beberapa bahagian benua, Moeti mendesak semua warga Afrika mendapatkan vaksin. – AFP, 12 Februari, 2021.
Komen