Restoran India terjejas teruk susulan lanjutan PKP


Noel Achariam

Banyak pemilik restoran tidak mampu bertahan semasa PKP 2.0 kerana terpaksa menanggung sewa, membayar pembekal, gaji kakitangan dan tunggakan hutang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2021.

RESTORAN India di seluruh negara menghadapi masa depan yang suram dengan lanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila sebahagian pengusaha mengalami kerugian sehingga 85%, kata Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas).

Persatuan itu berkata sejak PKP pada Mac tahun lalu, kira-kira 30% restoran India terpaksa ditutup.

Menurut persatuan itu, ia berpunca daripada kos sewa, gaji kakitangan, bil utiliti dan kos operasi lain yang terpaksa ditanggung tanpa pendapatan.

Presiden Primas, J. Govindasamy berkata dengan PKP 2.0 yang dilaksanakan ketika ini, menyebabkan pemilik restoran tidak mampu menanggung sewa, membayar pembekal, gaji kakitangan dan terpaksa berdepan tunggakan hutang.

“Pemilik kehilangan pendapatn kira-kira RM30,000 hingga RM50,000 bergantung pada ukuran premis mereka,” kata Govindasamy kepada The Malaysian Insight.

Primas mempunyai kira-kira 1,500 ahli di seluruh negara.

Persatuan itu berkata restoran yang ditutup kebanyakannya terletak di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Govindasamy turut berkata, pemilik restoran juga terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan perniagaan dan menampung keluarga.

“Semasa PKP kali pertama, mereka telah menghabiskan simpanan mereka untuk bertahan. Kini simpanan sudah habis,” katanya.

Namun, mereka bersyukur kerana kerajaan membenarkan makan di premis dengan dua pelanggan dibenarkan untuk satu meja.

Govindasamy berkata mereka sudah mengirim surat kepada Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri pada pertengahan Januari lalu untuk meminta bantuan.

“Kami berharap kerajaan dapat memberikan geran dua bulan untuk menampung sewa kami. Kami juga berharap pemilik premis boleh tolak ansur dalam bayaran sewa selama dua bulan.”

Beliau juga berharap kerajaan mengizinkan restoran yang beroperasi selama 24 jam sebelum ini dibenarkan dibuka hingga jam 12 tengah malam.

“Restoran ini mempunyai lebih banyak kakitangan, jadi kami berharap mereka dapat beroperasi hingga tengah malam.

“Ini juga akan memberi manfaat kepada mereka yang bekerja hingga tengah malam untuk dapatkan makanan.”

Govindasamy berkata, banyak pengusaha restoran sukar bertahan kerana tidak lagi dapat mengekalkan kakitangan mereka.

“Kita akan lihat pengusaha menghantar pulang sekitar 6,000 pekerja asing ke negara mereka semula.” – 12 Februari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen