829 kes Covid-19 dari 17 kluster baharu


Ravin Palanisamy

Sebanyak 829 kes dikesan dalam 17 kluster baharu hari ini di mana kluster tempat kerja menyumbang 766 kes atau 92% daripada jumlah kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti 17 kluster baharu Covid-19 di negara ini hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata sebanyak 13 kluster berkaitan dengan tempat kerja.

Selain itu dua kluster berkaitan komuniti, satu kluster berisiko tinggi dan satu kluster pusat tahanan dikesan, katanya.

Johor melaporkan jumlah kluster paling banyak hari ini dengan enam diikuti oleh Selangor (3), Kuala Lumpur (3), Kedah (2), dan masing-masing satu di Melaka, Sarawak dan Perak.

Noor Hisham berkata sebanyak 829 kes dikesan dalam 17 kluster ini di mana kluster tempat kerja menyumbang 766 kes atau 92% daripada jumlah kes. 

Menurutnya kluster Perdana yang dikesan di sebuah kilang di Kuala Muda, Kedah, menyumbang jumlah kes paling tinggi hari ini dengan 233 kes.

Selain itu, kluster tempat kerja lain yang menyumbang lebih daripada 100 kes adalah kluster Jalan Air Hitam (108 kes) dan Jalan Perindustrian Getah (102) kes, kedua-duanya dikesan di Johor.

Sebagai rekod, tiga kluster tempat kerja lain di Johor juga melaporkan lebih banyak kes berbanding kluster lain yang berkaitan dengan tempat kerja.

Kluster Kampung Tanjung Selabu melaporkan 92 kes, kluster Jalan Raja Muar (59 kes) - kedua-duanya dikesan di Muar, sementara kluster Jalan Gemilang Lima di Johor Bahru melaporkan 42 kes.

Tiga kluster tempat kerja di Selangor adalah tapak pembinaan Lembah Subang (28 kes), Subang Delima (15 kes) - kedua-duanya dikesan di Petaling, dan Jalan Bukit Sentosa (14 kes), dikesan di Rawang.

Tiga kluster tempat kerja di Kuala Lumpur dikesan di Brickfields, Bangsar dan Pantai Dalam.

Kluster Jalan Berhala di Brickfields melaporkan 21 kes, kluster Jalan Telawi, Bangsar (21 kes) dan kluster Bukit Angkasa, Pantai Dalam (20 kes).

Kluster tempat kerja terakhir yang dikesan adalah Dedap, satu lagi di Kedah. Kluster ini melaporkan 11 kes.

Kluster Jalan Bakawali Ramun di Johor dan Nanga Lijan di Sarawak mengesan jangkitan komuniti.

Jalan Bakawali Ramun melaporkan lapan kes manakala Nanga Lijan menyaksikan 23 kes.

Satu kluster yang berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi dikesan hari ini - Jalan Bukit Baru, dikesan di daerah Melaka Tengah dan Jasin, Melaka. Sebanyak 11 kes dikesan di sini.

Kluster terakhir yang dilaporkan hari ini adalah Tembok Bendera - kluster pusat penahanan di Perak. Sebanyak 21 kes dilaporkan dalam kluster ini. – 11 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen