PEMILIK premis perniagaan di Kedah diingatkan supaya meletakkan sekurang-kurangnya seorang pekerja di hadapan premis bagi memastikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan SOP Sektor Peruncitan yang diumumkan kerajaan bagi mengekang pandemik Covid-19.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Mohd Zawawi Zakaria berkata dalam pemantauan semalam dan hari ini, pihaknya mendapati masih ada pemilik premis tidak mematuhi SOP dengan memberi alasan tidak tahu ia telah dikuatkuasakan.
“Sekiranya pemilik premis masih gagal meletakkan seorang pekerja bagi memastikan pelanggan mematuhi SOP, mereka boleh dikenakan kompaun,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar bandar ini, hari ini.
Menurutnya pemilik premis perniagaan perlu menugaskan seorang pekerja di hadapan premis mereka untuk menjaga laluan keluar masuk pelanggan, mengambil suhu, memastikan pelanggan memakai pelitup muka dan hanya membenarkan pelanggan dengan status risiko rendah pada sistem MySejahtera untuk masuk ke dalam premis.
Sementara itu Mohd Zawawi berkata peniaga dan pelanggan restoran, kedai makan dan gerai juga diingatkan supaya tidak bertindak mencantumkan meja melebihi dua orang ketika makan di dalam premis berkenaan.
Beliau berkata pemantauan berterusan yang dijalankan oleh MKN negeri mendapati antara pelanggaran SOP yang paling banyak dilakukan masyarakat ialah tidak memakai pelitup muka dengan sempurna selain tidak mengimbas MySejahtera semasa memasuki premis perniagaan. – Bernama, 11 Februari, 2021.
Komen