Letak jawatan kalau menteri tak boleh patuh SOP, kata ahli Parlimen


Putrajaya tidak boleh terus berat sebelah dalam pematuhan SOP Covid-19, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

LEBIH baik Jemaah Menteri letak jawatan jika tidak boleh menghormati undang-undang dan berat sebelah dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Banyak pihak termasuk pembangkang dan pakar kesihatan berulangkali menegaskan tidak harus ada layanan berbeza dalam SOP membendung pandemik, tambahnya.

Malah Putrajaya perlu memandang serius pandangan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) berkenaan kuarantin tiga hari bagi menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara.

“Jika Kabinet tidak boleh menghormati undang-undang dan kesamarataan, maka mereka semua perlu meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, AAM menggesa kerajaan membatalkan perintah kuarantin tiga untuk menteri sehinggalah terdapat bukti saintifik yang menyokong bahawa tempoh singkat itu cukup untuk mengesan gejala Covid-19.

AAM dalam satu kenyataan berkata tiga hari tidak cukup untuk mengesan gejala jangkitan dan ia perlu disokong dengan bukti, penjelasan kesihatan awam terhadap keputusan kerajaan mengurangkan tempoh kuarantin wajib.

Tambah Lim, sikap kerajaan Perikatan Nasional yang enggan berganjak dari keputusan itu memalukan.

Menurutnya, virus Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengenal darjat.

“Rakyat sekarang hendak percaya kepada siapa? Menteri Kesihatan Adham Baba, Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau AAM?”

Kerajaan katanya boleh melabelkan AAM antikerajaan, atau mungkin mengharamkan badan berkenaan tetapi sudah rakyat akan lebih mempercayai pakar perubatan.

“Lagipun, apabila jatuh sakit, rakyat jumpa siapa? Apabila pandemik Covid-19 melanda negara, siapa yang jadi barisan hadapan? Adakah Muhyiddin, Adham atau (Menteri Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob?”

Isnin lalu, Adham mengumumkan Jemaah Menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negeri dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dipantau selama tiga hari berbanding 10 hari sebelum ini.

Dan semalam, Adham tempoh kuarantin tiga hari mungkin akan diperluaskan kepada ahli perniagaan dan orang awam untuk membuka ekonomi dan menggalakkan pelabur datang ke Malaysia. – 11 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen