SIKAP berpuas hati Malaysia dengan pandemik Covid-19 selepas berjaya meratakan lengkungan jangkitan pada tahun lalu, menjadikan keadaan pada gelombang ketiga bertambah teruk, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
“Gelombang ketiga bermula apabila kita mula tidak berjaga-jaga dan cuai dengan langkah kesihatan awam yang sebenarnya perlu ditetapkan,” kata bekas menteri kesihatan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertahan dua tahun.
“Rasa puas hati itu menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) gagal memantau ahli politik yang pulang dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Pada 24 dan 25 September, mereka dibenarkan masuk ke semenanjung dari Sabah tanpa ujian saringan kesihatan dan kuarantin.”
Syarat kuarantin hanya dikenakan bermula 27 September, sehari selepas PRN diadakan. Maka, hanya mereka yang pulang ke semennajung dari hari itu yang menjalani ujian saringan, tetapi bukan ahli politik atau pekerja kempen sebelum itu.
Sejak tempoh itu, sekarang dianggap permulaan gelombang ketiga, jumlah kes meningkat dari serendah tiga digit pada masa itu, hingga mencecah hampir 1,000 kes setiap hari pada minggu pertama November.
Sejak awal Januari, kes baharu harian melebihi 3,000, mencecah 5,728 pada 30 Januari sebagai angkat tertinggi pernah direkodkan. Kes jangkitan harian turun ke bawah 3,000 bagi kali pertama dua hari lalu (9 Februari) selepas hampir sebulan.
Malaysia kini merekodkan lebih 200,000 kes, di mana lebih 50,000 adalah kes aktif. Ia juga melaporkan 900 kematian sejak pandemik bermula.
Dr Dzulkefly yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor berkata kerajaan PN meraikan kemenangan terlalu awal apabila ia dapat mengawal penularan wabak itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan bermula 18 Mac hingga awam Mei tahun lalu.
“Secara sejujurnya, dalam gelombang pertama dan kedua kita mampu mengawal dengan baik. Ada yang ketika itu membuat sebutan mungkin Malaysia tidak memerlukan vaksin. Sampai begitu sekali optimis dan semangat kita.
“Dalam pada kita menyambut kemenangan sebenarnya kita cuai untuk ingatan dan peringatan daripada pihak epidemilogis yang membuat unjuran mengingatkan kita lonjakan kenaikan mendadak itu kalau pun tidak dilihat pada gelombang kedua akan juga akan berlaku kemudian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang juga ketua pasukan petugas khas Covid-19 Selangor berkata KKM hilang kawalan terhadap situasi itu kerana ia tidak menggunakan masa yang ada daripada PKP pertama untuk mengukuhkan kapasiti kesihatan awam Malaysia.
Dr Dzulkefly berkata ini terbukti daripada jumlah kematian pesakit Covid-19.
“Ketika dua gelombang pertama, KKM akan asingkan dan semua pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital. Tetapi ia tidak dapat lagi berbuat demikian kerana sistem kesihatan terbeban dan tidak mampu lagi menampung pesakit.
“Ini menyebabkan KKM terpaksa mengubah SOP dengan hanya pesakit kategori 3 dan 4 dimasukkan ke hospital.” – 11 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen