PUTRAJAYA perlu batalkan perintah kuarantin tiga hari untuk menteri sehingga ada bukti saintifik menyatakan tempoh singkat itu cukup untuk mengesan gejala Covid-19, kata Akademi Perubatan Malaysia (AMM).
Badan itu yang mewakili 11 kolej dan 15 cabang pakar perubatan di Malaysia, berkata tempoh inkubasi untuk Covid-19 ialah secara purata lima hingga enam hari, tetapi boleh jadi selama 14 hari.
“Maka, tiga hari tidak cukup untuk mengesan gejala. Perlu ada bukti, penjelasan kesihatan awam terhadap keputusan kerajaan mengurangkan hari kuarantin.”
Mereka berkata keberkesanan “gelembung perjalanan” juga masih dipertikaikan kerana varian baharu Covid-19 dengan kemampuan jangkitan lebih pantas sedang menular di seluruh dunia.
“Tidak ada data mencukupi berkenaan perkembangan mutasi itu untuk menetapkan protokol bagi perjalanan yang selamat.
“Kami faham ada desakan untuk memulakan semula ekonomi bagi manfaat rakyat Malaysia dan perniagaan yang sedang bergelut, tetapi ini hanya boleh dilakukan dengan mengawal pandemik terlebih dulu,” kata AMM dalam satu kenyataan hari ini.
Melihat kepada alasan itu, AM berkata amat penting untuk pihak berkuasa terus menguatkuasakan tempoh kuarantin 10 hari kepada semua individu yang melakukan perjalanan ke luar negara.
“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) perlu berlandaskan kepada sains.
“Tempoh kuarantin untuk individu yang masuk ke negara ini ditetapkan 10 hari berdasarkan kajian menunjukkan risiko jangkitan sangat rendah (~1%) selepas 10 hari dengan memastikan pemantauan dan ujian saringan dilakukan,” kata AMM. – 11 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen