VAKSIN Covid-19 yang dibangunkan AstraZeneca-Oxford boleh digunakan ke atas individu berusia lebih 65 tahun dan di kawasan di mana varian baharu menular, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.
Kumpulan Pakar Penasihat Strategik WHO (SAGE) semalam mengeluarkan cadangan mengenai bagaimana dan bila vaksin yang masih belum mendapat kelulusan kecemasan itu perlu diberi.
Pengumuman tersebut dibuat ketika timbul persoalan sama ada vaksin AstraZeneca boleh digunakan ke atas warga emas, atau di kawasan di mana varian dari Afrika Selatan menular.
Kekurangan data mengenai keberkesanan vaksin AstraZeneca bagi individu berusia 65 ke atas menyebabkan banyak negara menangguhkan suntikan kepada golongan yang berisiko dijangkiti Covid-19 itu, kata ketua SAGE, Alejandro Cravioto.
Pakar kesihatan bagaimanapun merumuskan berdasarkan vaksin tersebut juga mungkin berkesan terhadap warga emas, berdasarkan kesannya ke atas individu dewasa lebih muda. Data percubaan juga menunjukkan vaksin selamat untuk golongan itu.
“Kami berpendapat tindak balas golongan ini tidak ada bezanya dengan golongan lebih muda,” kata Cravioto kepada pemberita semalam.
Beliau berkata pakar perubatan sedang menunggu data yang lebih mengkhusus mengenai keberkesanan vaksin ke atas individu berumur lebih 65 tahun, namun “tidak sesuai” untuk menunggu cadangan dari pakar ketika angka kematian akibat Covid-19 semakin meningkat.
“Apa sahaja yang dapat kita lakukan untuk menggunakan produk yang boleh mengurangkan angka kematian adalah munasabah, walaupun maklumatnya tidak lengkap seperti yang kita mahukan.” – AFP, 11 Februari, 2021.
Komen