FixApa bantu padan khidmat pekerja gig dengan permintaan


Diyana Ibrahim

FixApa merupakan antara platform dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan dan memadankan khidmat pekerja gig dengan permintaan bagi pelbagai jenis perkhidmatan. – Gambar tangkap layar, 11 Februari, 2021.

HAIKAL Adnin Mohd Naim, 25, sepatutnya menjadi peguam selepas berjaya menerima ijazah Sarjana Muda Berkembar Undang-Undang (Syariah) pada Oktober lepas.

Namun impiannya tidak kesampaian bahkan Haikal turut diberhentikan dari kerjanya sebagai pembantu di sebuah firma guaman akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sekatan untuk menangani pandemik pelaksanaan PKP menyebabkan firma tersebut mengecilkan operasi dan beliau kemudiannya beralih ke sektor perkhidmatan kreatif.

Haikal memberitahu The Malaysian Insight, beliau kemudian menawarkan khidmat rekaan grafik dan turut menghasilkan video korporat serta iklan yang boleh memberi pendapatan kepadanya.

Namun permintaan untuk perkhidmatan tersebut tidak konsisten sehinggalah beliau diperkenalkan dengan FixApa, sebuah platform untuk pekerja gig, katanya.

“Rakan baik saya memperkenalkan saya kepada platform ini dengan tujuan  agar saya dapat menyepadukan khidmat agensi kreatif saya. Dahulu saya buat freelance namun tidak teratur.

“Namun setelah sertai FixApa, ia memberikan saya sistem yang lebih fleksibel termasuk sistem aliran tunai yang lebih teratur dan caj juga antara paling rendah berbanding platform yang lain.

Katanya, tanpa platform seperti itu, sukar untuk beliau membezakan pendapatannya dengan perbelanjaan.

“Kalau sekarang ini saya dapat anggaran dalam RM500 hingga RM700 (tambahan sebulan melalui) FixApa. Itu lebih kurang 50% dari jumlah pendapatann saya sebelum ini.

“Itu belum termasuk lagi projek yang memerlukan pasukan,” katanya yang menjelaskan, anggota dalam pasukannya akan menerima sekitar RM1,000 hingga RM1,500 untuk sesuatu projek.

FixApa merupakan antara platform dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan dan memadankan khidmat pekerja gig dengan permintaan bagi pelbagai jenis perkhidmatan.  – Gambar The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

FixApa terokai pasaran pekerja gig

Sektor pekerjaan gig menjadi pilihan karyawan bebas seperti Haikal yang kehilangan pekerjaan akibat kesan ekonomi pandemik Covid-19.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 seramai 466,600 pekerja terlibat dalam sektor gig berbanding 559,900 pada 2018.

FixApa merupakan antara platform dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan dan memadankan khidmat pekerja gig dengan permintaan bagi pelbagai jenis perkhidmatan.

Ia merangkumi pelbagai jenis perkhidmatan dari mencuci rumah, penghantaran, cuci kereta sehingga kepada khidmat profesional seperti industri kreatif dan perunding kewangan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FixApa, Ainol Razman berkata platform itu dimulakan pada April lepas ketika PKP dikuatkuasa buat kali pertama.

Ainol berkata platform itu bukan saja satu penyelesaian kepada golongan yang hilang pekerjaan tetapi juga untuk mengembangkan pasaran menumpukan kemahiran pekerja gig.

Jelasnya, FixApa ditubuhkan sebagai satu pasaran sosial seperti Grab dan Shopee tetapi memfokuskan kepada perkhidmatan.

“Platform yang ada sekarang banyak yang nak buat macam Grab tapi belum ada lagi platform yang boleh anda tawarkan kemahiran anda.

“Jadi (pekerja gig) boleh fokus kemahiran asas mereka dengan FixApa,” katanya.

Katanya lagi, idea menggerakkan FixApa tercetus kerana dengan hasrat membawa perubahan dalam sektor gig di Malaysia yang menurutnya hanya memfokuskan kepada pengguna semata- mata.

Keadaan itu berbeza di negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang menumpukan kepada pekerja gig – dipanggil gigster.

“Kalau di Malaysia sektor gig ini sangat menumpukan pengguna buat platform fokus kepada kepada pengguna. Kita tidak tumpu kepada pengguna tapi fokus kita pada gigster,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi perunding pemasaran Kejohanan Dunia Ragbi, Tokyo 2019 itu berkata sistem FixApa membolehkan gigster menyatakan khidmat mereka di platform tersebut.

Dengan itu pengguna boleh memilih dan membuat tempahan khidmat gigster yang mereka mahu.

Dengan itu, sistem berkenaan memberi pilihan kepada pengguna atau syarikat untuk mendapatkan khidmat dari gigster tanpa perlu menanggung bebanan kos tetap.

Beliau berkata gigster juga akan menentukan harga servis sendiri dan Fix Apa akan mengutip caj sebanyak 8% bagi setiap tempahan yang diterima gigster.

“Lebih kurang macam Shopee kita bayangkan Shopee tapi ini tawarkan servis perkhidmatan anda ada kedai sendiri dan boleh pasarkan apa saja kemahiran yang ada.

“Tak kisahlah nak buat kerja yang anda dilatih untuk buat sebelum, kerja yang anda suka atau pun kerja yang anda perlu lakukan,” katanya.

Tambahnya lagi FixApa juga berkerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam memastikan operasi platformnya berjalan dengan lancar.

Dengan kerjasama itu, mereka berusaha untuk memastikan pekerja bebas dalam sistem FixApa dapat membuat caruman simpanan, keselamatan pekerjaan dan insurans.

“Kita juga jaga kebajikan gigster. Kalau kerja pekerja bebas mereka tidak ada (caruman) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Socso. Tapi kita cuba sediakan melalui MDEC,” katanya.

Ujarnya lagi, FixApa pada waktu ini mempunyai 252 gigster yang berdaftar dan 370 lagi bakal menyertai platform itu.

Ainol berkata gigster yang memohon akan menjalani temuduga terlebih dahulu bagi proses pengesahan latar belakang.

Jelasnya temuduga itu juga bagi membantu pemohon mengenal pasti perkhidmatan yang ingin ditawarkan.

Ini kerana ramai yang mendaftar tidak tahu perkhidmatan yang ingin ditawarkan kerana industri gig ini sangat baru, katanya.

“Sebab itu kita temuduga seorang demi seorang. Sebagai contoh saya pernah tanya seorang pemohon apa yang dia minat suka buat. Dia cakap kucing.

“Jadi saya cakap buatlah khidmat bagi kucing makan sebab kadang-kadang orang keluar tak boleh bagi makan kucing,” katanya.

Jelasnya, sekiranya pekerja itu menetapkan caj RM30 untuk setiap pelanggan, beliau akan mendapat RM120 jika mampu menjalankan khidmat bagi enam pelanggan sehari.

“Anda nak raih pendapatan tapi kena tahu apa yang anda boleh buat kemahiran  kebolehan anda, dan sebab itulah kita tampil membantu,” katanya. – 11 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen