Pembangkang gesa kerajaan batal perintah kuarantin tiga hari untuk menteri


Adham Baba dikritik hebat orang ramai dan pembangkang selepas mengumumkan SOP menteri yang hanya perlu kuarantin tiga hari sekembali dari luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2021.

34 ahli Parlimen pembangkang menggesa Putrajaya membatalkan perintah kuarantin selama tiga hari untuk menteri Kabinet kerana ia tidak berdasarkan sains selain tidak adil kepada rakyat.

Ahli Parlimen pembangkang juga turut menggesa agar Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menjelaskan alasan sebenar di sebalik keputusan memotong tempoh kuarantin 10 hari kepada tiga hari bagi menteri yang pulang dari luar negara.

“Kami ingin kerajaan melaksanakan perintah kuarantin yang adil dan saksama untuk semua pihak kerana wabak virus Covid-19 tidak mengenali pangkat dan kedudukan, baik rakyat biasa atau menteri.

“Keputusan kerajaan mengenai isu-isu penting seperti kuarantin harus berdasarkan maklumat yang tepat berdasarkan sains dalam mengawal pandemik dan tidak memberikan keselesaan kepada para menteri,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Dr Adham berkata, tempoh kuarantin tiga hari untuk menteri yang pulang dari luar negara dilakukan atas alasan ekonomi selain memudahkan urusan perdagangan, dan ia dapat diperluas kepada ahli perniagaan dan orang ramai.

Pada hari Isnin, beliau menandatangani pewartaan Persekutuan yang mengecualikan anggota Kabinet daripada kuarantin wajb 10 hari setelah mereka kembali dari luar negara, dan hanya menjalani pengawasan selama tiga hari.

Ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun mendakwa Dr Adham hanya memberikan alasan berhubung pengecualian setelah dikritik dan dikecam orang ramai.

“Ini bererti wujud kuarantin ‘double standard’ bagi menteri yang melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

“Setelah itu, dia berkata kuarantin tiga hari akan dibuka untuk umum kerana kerajaan ingin menghidupkan kembali ekonomi. Konsisten tidak ada dalam keputusannya menyebabkan kekeliruan di negara ini.”

Mereka juga berkata bahawa langkah tersebut dilihat sangat tidak adil selepas kerajaan melaksanakan tindakan keras seperti penangkapan dan denda, terhadap mereka yang dituduh melanggar SOP Covid-19.

“Menteri harus tunjuk contoh dengan mematuhi semua SOP Covid-19, dan bukan menjadi penyebab kluster baharu.

“Kami 34 anggota Parlimen menggesa Dr Adham dan Putrajaya menarik balik perintah kuarantin selama tiga hari untuk para menteri.”

Ahli Parlimen pembangkang juga turut meminta kerajaan Perikatan Nasional melakukan perbincangan mendalam mengenai isu kuarantin bagi rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara.

“Kerajaan juga perlu membuat keputusan yang adil dan saksama kepada semua pihak berdasarkan data saintifik, bukan untuk memudahkan gaya hidup menteri.

“Wabak Covid-19 adalah masalah hidup atau mati yang perlu ditangani dengan serius.” – 10 Februari, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen