SARAWAK akan menggunakan hak autonomi bagi membuat dasar yang sesuai untuk negeri berkenaan sekiranya apa yang dilaksanakan oleh Putrajaya tidak memenuhi kepentingan rakyat Sarawak, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.
Abang Johari dalam perutusan Tahun Baharu Cina berkata, Sarawak tidak lagi akan menerima keputusan secara membuta tuli yang memudaratkan kepentingan mereka.
Ketua menteri melaksanakan dasar pengurusan Covid-19 Sarawak berbeza dengan yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat ke atas negeri-negeri di semenanjung.
“Sarawak bernasib baik kerana mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri sesuai dengan keadaan tempatan kita dan tidak semestinya mengikut keputusan kerajaan persekutuan setiap masa yang mungkin bukan untuk kepentingan terbaik kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara baru-baru ini tidak termasuk Sarawak tetapi negeri itu sendiri memutuskan untuk tidak mengenakan PKP kecuali di Sibu, Kapit dan Song.
Abang Johari berkata keputusan dibuat untuk tidak merosakkan ekonomi.
Abang Johari berkata ia sangat penting untuk menjaga ekonomi di samping mengambil langkah pencegahan virus.
“Kita dapat memutuskan sendiri untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali di Sibu, Kapit dan Song agar kehidupan rakyat dapat diteruskan dan perniagaan terus beroperasi bagi memastikan rakyat tetap bekerja.
“Kita tidak boleh terus tutup ekonomi kita bagaimanapun kita perlu mencari jalan untuk penyelesaian.
“Kerajaan sangat memahami kedaan rakyat dan kerajaan negeri memberikan pelbagai bentuk bantuan melalui Bantuan Khas Sayang Sarawak (BKSS) 1.0 sehingga BKSS 5.0 bagi meringankan beban rakyat dan komuniti perniagaan serta perdagangan,” katanya.
Lima pakej bantuan menyalurkan sejumlah RM3 bilion dalam bentuk tunai, subsidi dan penangguhan pinjaman serta bayaran.
Ketua menteri itu berkata bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM75 juta untuk kuarantin di hotel kepada mereka yang pulang ke Sarawak dari luar negara.
Mereka dari luar perlu membayar bil kuarantin dan pemeriksaan kesihatan mereka sendiri.
Abang Johari berkata wang itu juga akan membantu menjaga industri perhotelan sepanjang sekatan perjalanan di seluruh dunia. – 10 Februari, 2021.
Komen