Kes Covid-19 kembali cecah lebih 3,000, catat 14 kematian


Kes baharu Covid-19 di Malaysia meningkat kepada lebih 3,000 kes dalam tempoh 24 jam terakhir selepas mencatatkan penurunan sebanyak 2,764 semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 Februari, 2021.

KES baharu Covid-19 di Malaysia meningkat kepada lebih 3,000 kes dalam tempoh 24 jam terakhir selepas menurun sebanyak 2,764 semalam.

Terdapat 14 kematian turut dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan jumlah kes baharu Covid-19 sebanyak 3,288 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini berjumlah 251,604.

Jumlah kes aktif juga meningkat kepada 52,186 orang.

“Dari 3,283 jangkitan tempatan, seramai 1,889 adalah penduduk tempatan dan 1,394 adalah warga asing.

“Bagi lima kes import, tiga adalah warga tempatan dan dua warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi dengan 1,757 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur (408) dan Johor (369).

Secara keseluruhan, Selangor mencatat kebanyakan kes dengan 82,199, diikuti oleh Sabah (50,855) dan Kuala Lumpur (30,348).

Noor Hisham berkata, 1,929 pesakit pulih dari virus itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih menjadi 198,495.

Terdapat 285 pesakit diletakkan di unit rawatan rapi (ICU), 131 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu 14 kematian yang dilaporkan hari ini adalah melibatkan rakyat Malaysia.

Seramai 11 mangsa adalah lelaki, sementara tiga wanita. Manakala 12 daripada 14 mangsa mempunyai sejarah perubatan.

Mangsa tertua pada hari ini berusia 94 tahun, menghidap asma dan meninggal dunia di Sabah, sementara yang paling muda berusia 36 tahun, yang meninggal dunia di Kuala Lumpur. – 10 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen