Polis giat operasi di air terjun, pantai peranginan sempena cuti Tahun Baru Cina


POLIS Kuantan akan menggiatkan operasi pemantauan di kawasan tumpuan ramai termasuk pantai dan air terjun yang berkemungkinan menjadi pilihan orang ramai bersempena cuti perayaan Tahun Baru Cina, mulai Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata usaha itu bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diwajibkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb ini. 

“Selain SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), penguatkuasaan yang dilakukan juga merujuk kepada pertambahan beberapa perkara yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Kita berharap penduduk Kuantan memanfaatkan kebenaran yang baru diberikan seperti boleh mengadakan majlis makan besar atau makan di kedai dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan bagi aktiviti tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Pematuhan SOP Covid-19 dan Pencegahan Jenayah sekitar bandar Kuantan, hari ini. 

Pada 23 Jan lepas, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bahawa aktiviti berkelah berada dalam senarai aktiviti tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKP di negeri ini,  yang mula berkuat kuasa pada 22 Januari.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Noor memaklumkan setakat ini, pihaknya telah meluluskan 40,000 permit merentas daerah atau negeri sejak PKP 2.0 bermula dengan majoritinya bagi urusan kerja atau persekolahan anak, manakala 2,600 permohonan ditolak kerana tiada alasan kukuh atau ketiadaan bukti sokongan. 

Beliau juga memaklumkan, semua 37 kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan termasuk 15 pegawai telah kembali bertugas, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri akibat menjadi kontak rapat kepada seorang anggota positif Covid-19. – Bernama, 10 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen