PERINTAH darurat tidak harus dijadikan helah untuk menyekat rakyat daripada meminta kerajaan menjelaskan urusan pencegahan penularan pandemik Covid-19, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau melontarkan soalan adakah bertanya pun tidak boleh sekarang, selepas Pejabat Perdana Menteri semalam mengancam tindakan undang-undang terhadapnya kerana dikatakan memfitnah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Jangan gunakan darurat untuk menghalang rakyat bertanya dan minta penjelasan. Bertanya pun kena saman?” tanyanya di Facebook, hari ini.
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) semasa pentadbiran Najib Razak itu bertanya apa alasan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi pengecualian kepada menteri untuk dikuarantin hanya tiga hari sekiranya pulang dari luar negara.
“Apakah itu tujuan darurat? Untuk memenuhi keperluan dan keselesaan menteri?” tanyanya.
Dalam tulisannya juga di Facebook semalam, Puad mendakwa kononnya pengecualian itu dibuat kerana Muhyiddin enggan menjalani kuarantin 10 hari selepas pulang dari Jakarta.
Pengecualian itu dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 1 Ogos ini, iaitu tarikh sama pelaksanaan perintah darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lepas.
Muhyiddin bagaimanapun pulang dari Jakarta pada 5 Februari, selepas lawatan dua hari ke Indonesia atas jemputan Presiden Joko Widodo.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin sedang menjalani kuarantin di rumah sejak pulang dari lawatan rasmi itu.
“Perdana menteri diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada Jumaat 5 Februari.
“Beliau pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Kenyataan yang dihebahkan melalui laman Facebook Muhyiddin turut memaparkan dua foto Muhyiddin dipakaikan gelang merah jambu oleh pegawai Kementerian Kesihatan.
Kenyataan semalam juga menyifatkan tuduhan Puad adalah satu fitnah yang berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Muhyiddin sebagai perdana menteri.
“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya gagal memohon maaf secara terbuka,” tambah kenyataan itu.
Puad setakat ini belum lagi membuat sebarang permohonan maaf seperti diminta.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kuarantin tiga hari untuk menteri yang pulang dari lawatan ke luar negara dibenarkan kerana mereka melalui “terowong perjalanan”, iaitu prosedur pergerakan yang terkawal pergi dan balik.
Ia juga tidak dibenarkan untuk semua menteri kerana tertakluk kepada proses lawatan dan membuat permohonan untuk pengecualian sebelum lawatan, katanya. – 10 Februari, 2021.
Komen