KLUSTER Pasai melibatkan beberapa daerah di Sarawak kini menjangkiti 2,363 individu, merebak ke generasi keenam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata ia berikutan kegagalan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Setakat ini Kementerian Kesihatan mengesan 2,363 kes positif daripada 25,500 ujian saringan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kluster Pasai disahkan pada 9 Januari dan kes indeks dikesan melibatkan wanita berusia 32 tahun yang kembali dari Johor pada 29 Disember untuk menghadiri pengebumian bapanya.
Dia didapati positif Covid-19 pada 6 Januari.
“Penularan berlaku apabila adat pengebumian berlangsung selama tiga hari berturut-turut membabitkan penglibatan ramai pihak termasuk komuniti rumah panjang lain,” katanya.
Ketika individu terbabit berhimpun di rumah panjang, kurang pengasingan dan pematuhan kepada SOP, tambahnya.
Beliau berkata kes indeks sepatutnya menjalani kuarantin di hotel dan bukan di rumah panjang.
Menurutnya kluster berkenaan turut menjangkiti 46 petugas kesihatan di kawasan itu.
“Mereka datang ke pusat kesihatan untuk rawatan namun mungkin petugas kesihatan fikir ia adaah zon hijau, jadi berlaku jangkitan,” katanya.
Hari ini, Malaysia melaporkan 12 kluster baharu Covid-19 yang mana 11 daripada berkaitan tempat kerja.
Selepas 26 hari berturut-turut melaporkan lebih 3,000 kes harian Covid-19, Malaysia hari ini merekodkan 2,764 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu. – 9 Februari, 2021.
Komen