Selepas hampir sebulan, jumlah kes harian Covid-19 kini bawah 3,000


Ravin Palanisamy

Selangor sekali lagi mencatat kes tertinggi antara negeri iaitu 862 kes, diikuti Johor dengan 521 dan Kuala Lumpur 422.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

SELEPAS 26 hari berturut-turut merekodkan lebih 3,000 jumlah kes harian Covid-19, Malaysia hari ini merekodkan 2,764 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, enam merupakan kes import dan bakinya adalah penularan tempatan. 

Beliau berkata Selangor sekali lagi mencatat kes tertinggi antara negeri iaitu 862 kes, diikuti Johor dengan 521 dan Kuala Lumpur 422.

Dengan jumlah kes yang direkodkan hari ini, jumlah keseluruhan kes Selangor melepasi 80,000.

Negeri yang mempunyai penduduk padat itu kini merekodkan jumlah kumulatif 80,442 kes; diikuti Sabah dengan 50,723 kes dan Kuala Lumpur 29,940. 

Dr Noor Hisham juga berkata kes pulih melebihi jumlah kes baharu, dengan 3,887 pesakit didiscaj dari hospital. 

Jumlah kes aktif di negara ini kini 50,841. 

Noor Hisham berkata 289 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 127 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan. 

Selain itu, Malaysia turut melaporkan 13 kes kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 909. Kesemua mangsa adalah warga tempatan. 

Enam kematian dilaporkan di Selangor, masing-masing dua di Sabah, Sarawak dan Johor serta satu di Kuala Lumpur. 

Kesemua mangsa kecuali seorang mempunyai penyakit kronik. – 9 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen