Pusat karaoke dan kelab malam belum dibenarkan beroperasi


Noel Achariam

Kerajaan masih belum membenarkan pusat hiburan beroperasi dan sejak 18 Mac hingga 31 Januari, pihak berkuasa sudah menyerbu 951 premis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

PUSAT hiburan karaoke dan kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kedai hiburan masih berada dalam senarai dilarang.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Kami akan terus menangkap dan mengeluarkan kompaun,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, sejak 18 Mac hingga 31 Januari, pihak berkuasa sudah menyerbu 951 premis.

“Kami sudah mengeluarkan 9,587 kompaun dan menangkap 4,666 individu.”

Ismail Sabri berkata, polis sudah menahan 745 individu semalam kerana melanggar SOP.

Daripada jumlah itu, katanya 701 dikompaun, 41 individu direman sementara tiga diberi jaminan.

Antara kesalahan SOP termasuk tidak menjaga penjarakan fizikal (156), rentas negeri dan daerah tanpa izin (151), tidak memakai pelitup muka (129), premis beroperasi lebih masa dan tanpa izin (57) aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (127). – 9 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen