PUTRAJAYA membenarkan makan di semua restoran bermula serta-merta, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan berkata hanya dua orang dibenarkan bagi setiap meja dan mereka mesti menjaga penjarakan sosial satu meter.
“Restoran juga mesti menempatkan seorang pekerja untuk memantau mereka yang masuk ke restoran.
“Mereka juga mesti mengawal jumlah pelanggan di restoran dan mengikuti prosedur operasi standard yang ketat,” katanya semasa sidang media hari ini.
Beliau juga berkata kedai menjual pakaian, kasut dan aksesori juga akan dibenarkan beroperasi.
Katanya restoran akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam untuk perkhidmatan makan di dalam restoran, bungkus dan pandu lalu.
Ismail Sabri juga berkata semua sektor runcit akan dibenarkan dibuka mulai esok.
“Semua kedai runcit mesti mematuhi semua SOP yang ada dan mensanitasi premis mereka tiga kali sehari.”
Antaranya ialah kedai fotografi, perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga, kedai semaian, kraf tangan dan cenderamata, kedai peralatan sukan, peralatan rumah dan dapur, aksesori kenderaan dan lain-lain.
Ini juga termasuk mereka yang menjual pakaian dan barangan lain di pasar malam.
Bagi kedai pakaian, Ismail Sabri berkata premis mesti menyediakan sarung tangan pakai buang untuk pelanggan yang memilih pakaian mereka.
Katanya, bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti pjualan sahaja dibenarkan.
“Rundingan bersemuka dan mencuba kosmetik tidak dibenarkan.
“Bagi kedai gambar atau perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya boleh melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar.
“Penggunaan studio penggambaran kecuali pasport, visa dan perkhidmatan foto lesen tidak diizinkan.” – 9 Februari, 2021.
Komen