Tarik semula SOP kuarantin untuk menteri, gesa Kit Siang


Lim Kit Siang mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengotakan janjinya bahawa tiada dwistandard dalam soal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2021.

LIM Kit Siang hari ini menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menarik semula kelonggaran perintah kuarantin Covid-19 kepada menteri dan mengotakan janjinya bahawa tiada dwistandard dalam soal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Veteran DAP itu berkata semasa menyampaikan perutusan khas Covid-19 pada Oktober tahun lalu Muhyiddin berkata beliau sebagai perdana menteri juga tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP. 

Tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang ingkar, tegas Muhyiddin ketika itu.

Lim dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan adakah janji perdana menteri itu sia-sia sahaja apabila Menteri Kesihatan  Adham Baba mengeluarkan perintah kuarantin Covid-19 berat sebelah untuk menteri semalam. 

Adham semalam mengeluarkan warta yang mengecualikan menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara menjalani menjalani pemerhatian atau pengawasan 10 hari. 

Mereka sebaliknya menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasaan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Perkara itu dinyatakan dalam warta Kerajaan Persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara semalam.

Peraturan tersebut berkuatkuasa mulai hari ini hingga 1 Ogos.

Lim berkata peraturan berkenaan akan mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam usaha membendung pandemik Covid-19. – 9 Februari, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen