JABATAN Imigresen memberitahu seorang rakyat Malaysia supaya “bertaubat” selepas menolak permohonannya mendapatkan MyTravelPass (MTP) bagi melawat pasangan sejenisnya di luar negara.
Pemohon berkenaan yang enggan mendedahkan namanya, memberitahu The Malaysian Insight bahawa Jabatan Imigresen berkata sebab dinyatakan untuk penolakan permohonannya ialah: “Lain-lain: Mohon bawa bertaubat”.
Salinan penolakan bertarikh 4 Februari itu daripada emel [email protected] dihantar kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sudah menghantar soalan secara bertulis kepada Jabatan Imigresen bagi mendapatkan penjelasan terhadap sebab penolakan permohonan itu.
Setakat ini, jabatan itu belum membalas soalan berkenaan.
“Saya tidak pasti 100% sama ada saya ada memberitahu yang saya daripada komuniti LGBTQ dalam permohonan itu. Tetapi permohonan saya dilengkapi dengan surat jemputan ditandatangani pasangan saya, deklarasi hubungan kami dari negara yang akan saya kunjungi, penyata bank saya dan pasangan, butiran visa yang dipohon dan dokumen sokongan dari kedutaan negara itu di Kuala Lumpur,” kata pemohon terbabit.
Beliau berkata sama seperti permohonannya sebelum ini, beliau turut mendedahkan butiran tentang pasangannya dalam permohonan terbaru, termasuk passport, itenari penerbangan dan beberapa gambar mereka bersama keluarga.
“Bagi negara yang hendak saya kunjungi itu, deklarasi hubungan wajib dibuat untuk masuk ke sana.
“Seperti saya sebutkan tadi, kadang-kala saya dedahkan maklumat pasangan. Dalam permohonan ini, saya masukkan pasportnya, cop untuk kami melakukan perjalanan bersama, tiket penerbangan dan gambar kami bersama keluarga saya di mana dia tinggal bersama kami.”
Pelajar berusia 21 tahun itu berkata beliau membuat permohonan antara 10 hingga 20 kali sejak Mac 2020 iaitu sejak kerajaan menutup sempadan kerana pandemik Covid-19.
“Tetapi semua permohonan ditolak. Pemrohonan sebelum ini ditolak atas alasan ‘tidak ada dokumen sokongan’ atau ‘perjalanan tidak penting’. Tetapi alasan ini agak biasa kerana pemohon lain juga menerimanya.
“Tetapi ini kali pertama penolakan itu disertakan dengan mesej ‘Mohon bawa bertaubat’,” katanya, yang memohon untuk ke Eropah.
Beliau berkata ia amat mengejutkan kerana ramai rakyat Malaysia yang belum berkahwin menerima kelulusan walaupun mereka menghantar dokumen sama dengan hasrat sama untuk ke luar negara.
Pemohon bagi MyTravelPass, yang diperkenalkan pada Julai lalu, boleh memasukkan sebarang dokumen sokongan, katanya.
Katanya, walaupun MTP lebih efisien berbanding emel, Jabatan Imigresen biasanya hanya menyatakan sebab permohonan ditolak, tanpa memberi penjelasan.
“Keputusan itu kadang-kala secara rawak kerana ada pemohon menghantar dokumen sama lebih daripada sekali dan diluluskan. Alasan diberikan agak samar: bila mereka letak ‘tiada dokumen sokongan’, di mana kami betul-betul tidak tahu apa sebab sebenarnya ditolak.” – 9 Februari, 2021.
Komen