Peru terima bekalan pertama vaksin Covid-19 China


Semalam, Peru telah menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh syarikat Sinopharm dari China. – Gambar EPA, 8 Februari, 2021.

BEKALAN pertama vaksin Covid-19 dihasilkan syarikat Sinopharm dari China tiba di Lima, Peru semalam, lapor Agensi Anadolu. 

Presiden Peru Francisco Sagasti mengumumkan perkara itu di akaun Twitternya.

Penghantaran pertama itu terdiri 300,000 dos vaksin dan bekalan seterusnya dijadual tiba 13 Februari.

“Saya berterima kasih kepada usaha sektor swasta dan awam yang menjadikan usaha ini satu kejayaan. 

“Kami siap untuk memulakan vaksinasi bermula dengan mereka yang berada di barisan hadapan yang berjuang demi keselamatan nyawa,” katanya.

Petugas kesihatan, anggota tentera, pegawai polis dan bomba kumpulan pertama yang akan diberi keutamaan untuk menerima suntikan.

Peru setakat ini melaporkan hampir 1.2 juta kes jangkitan dengan lebih 42,300 kematian. – Bernama, 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen