BADAN pemantau pilihan raya Bersih 2.0 hari ini menyarankan agar tugas dan tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kepada tiga badan bebas untuk pengurusan serta integriti pilihan raya.
Saranan tersebut dibentangkan oleh bekas pegawai Bersih 2.0 Chan Tsu Chong yang berkata bahawa ketiga-tiga badan baharu itu akan mempunyai autonomi dan bidang kuasa tersendiri.
Chan berkata SPR ketika ini dibebani dengan semua kerja pelaksanaan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, proses persempadanan semula dan pelaksanaan pilihan raya.
“Dalam konteks Malaysia, reformasi pilihan raya telah menjadi isu politik utama selama bertahun-tahun. Reka bentuk insitusi dan kebebasan SPR adalah antara faktor utama yang mempengaruhi proses pengurusan dan integriti pilihan raya.
“Oleh itu laporan ini menyokong hujah untuk menubuhkan pelbagai badan bagi menguruskan proses pilihan raya di Malaysia,” katanya dalam satu perbincangan webinar pagi ini.
Mengulas berkenaan tiga badan tersebut Chan berkata SPR dapat mentadbir dan melaksanakan pilihan raya termasuk menguruskan pendaftaran pemilih dan daftar pemilih sementara Suruhanjaya Penguatkuasaan Pilihan Raya (EEC) dapat memantau dan memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya termasuk berkaitan parti politik.
Badan ketiga Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya (EBC) dapat mengkaji dan menetapkan sempadan pilihan raya.
Dalam menjelaskan peranan setiap suruhanjaya, Chan berkata SPR akan menjalankan tanggungjawab utamanya untuk mengadakan pilihan raya dan EEC akan bertanggungjawab memantau kepatuhan terhadap semua undang-undang berkaitan pilihan raya.
EBC sebaliknya akan menjadi badan yang ditubuhkan secara automatik apabila proses persempadanan diperlukan. – 8 Februari, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen