Lebih ramai keluarga B40 menganggur semasa PKPB, kata laporan


Ragananthini Vethasalam

Pandemik Covid-19 terus menjejaskan kehidupan keluarga di flat kos rendah di Kuala Lumpur, kata laporan PBB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2021.

PENGANGGURAN dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur naik dua kali ganda semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan tahun lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

Laporan “Keluarga di Pinggiran” iaitu kajian bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mendapati kadar pengangguran dalam kalangan isi rumah yang ditinjau naik dua kali ganda kepada 15% pada Disember berbanding 7% pada September tahun lalu.

Manakala satu daripada tiga orang dewasa isi rumah yang ditinjau tidak mempunyai pekerjaan. 

Pendapatan dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan orang kurang upaya (OKU) pula masing-masing 24% dan 36% lebih rendah berbanding akhir 2019.

Kebanyakan respoden mengalami pengurangan pendapatan, menyebabkan mereka terus bergelut dalam kemiskinan, kata laporan.

Walaupun kerajaan memberi bantuan untuk meringankan beban, kadar kemiskinan dalam keluarga berpendapatan rendah kekal pada 42% setakat Disember lalu.

Kadar kemiskinan lebih tinggi dalam kalangan isi rumah diketuai OKU iaitu 55%, manakala isi rumah diketuai wanita 61%.

Isi rumah dengan pendapatan bawah garis kemiskinan sukar juga untuk memenuhi keperlua asas mereka, tambah laporan.

Ia turut menyebut meskipun kerajaan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah, pandemik Covid-19 terus menjejaskan kehidupan keluarga di flat kos rendah di Kuala Lumpur.

“Data terkini dari laporan Keluarga di Pinggiran mencadangkan bahawa walaupun terdapat keluarga yang mula pulih, namun yang lain terus merosot dan hampir mencapai kemuncak pada awal PKP 2.0,” kata wakil Unicef di Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar.

“Kita perlu fikirkan semula perlindungan sosial bagi golongan yang paling rentan di Malaysia, termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup bersasar, terutamanya untuk mereka yang bekerja sendiri.”

Unicef sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk mengukukuhkan dasar serta program bagi keluarga yang memerlukan, katanya. – 8 Februari, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen