Afrika Selatan tangguh guna vaksin Astrazeneca


AFRIKA Selatan semalam umum akan menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca selepas kajian mendapati ia hanya memberi kurang berkesan untuk mencegah varian yang mencetus gelombang kedua di negara itu.

Program imunisasi Afrika Selatan dijadual bermula beberapa hari lagi menggunakan sejuta dos vaksin yang dibangunkan AstraZeneca/Oxford itu yang tiba pada awal bulan ini.

“Kita terpaksa tangguhkan AstraZeneca buat sementara sehinggalah masalah ini dapat diselesaikan,” kata Menteri Kesihatan Zweli Mkhize pada sidang media secara maya semalam.

Kajian yang dijalankan oleh University of Witwatersrand di Johannesburg dalam satu kenyataan berkata vaksin AstraZeneca hanya memberi perlindungan minimum terhadap jangkitan ringan-sederhana Covid-19 dengan varian Afrika Selatan.

Bagaimanapun, AstraZeneca berkata vaksinnya mampu memberi perlindungan terhadap jangkitan serius berdasarkan kepada ujian ke atas 2,000 sukarelawan.

Afrika Selatan menerima penghantaran pertama sejuta dos vaksin pada Isnin lepas. Sebanyak 500,000 dos lagi dijangka diterima pada bulan ini.

Semua vaksin AstraZeneca dihasilkan di Serum Institute of India dan seramai 1.2 juta petugas kesihatan akan menjadi penerima pertama suntikan vaksin.

“Dalam tempoh empat minggu akan datang, kita akan terima J&J dan Pfizer,” kata Mkhize, merujuk kepada vaksin dibangunkan Johnson & Johnson dan Pfizer/BioNTech.

Beliau baru-baru ini mengumumkan sebanyak 20 juta dos vaksin Pfizer/BioNTech sudah ditempah.

Rundingan dengan pengeluar vaksin lain juga sedang berjalan, terutamanya Moderna dan Sputnik V Rusia. – AFP, 8 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen