KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tujuh kluster baharu hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 441 dengan 81 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada tujuh kluster baharu itu, tiga membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Lembah Selatan dan Kluster Jalan Bagan di Selangor, serta Kluster Jalan Gangsa Dua (Johor), manakala dua kluster melibatkan komuniti iaitu Kluster Seruas (Sarawak) dan Kluster Taman Segar (Perak).
Dr Noor Hisham berkata Kluster Lorong Mawar di Perak pula melibatkan aktiviti keagamaan dan satu lagi kluster baharu ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Ampang Campuran di Selangor.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Industri Serkam (246 kes), Kluster Gudang Salak Tinggi (127 kes), dan Kluster Tapak Bina Lembah Selatan (99 kes).
“Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 454 kluster termasuk tujuh kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Pintu Geng, Kluster Ehsan Ibol, Kluster Persiaran Heights, Kluster Langkasuka, Kluster Wawasan, Kluster Jalan BBN, dan Kluster Texmile,” katanya. – Bernama, 7 Februari, 2021.
Komen