Persatuan pengguna gesa KKM pantau harga ujian saringan di klinik swasta


Seorang petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pesakit di pusat saringan di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 April, 2020.

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengawal harga ujian saringan Covid-19 di klinik swasta supaya ia berpatutan.

Pegawai Pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata harga ujian RT-PCR dan RTK-Antigen di klinik swasta ketika ini antara RM220 hingga RM388 (RT-PCR) dan RM90 hingga RM170 (RTK-Antigen).

“CAP bimbang jika ia tidak dikawal caj yang dikenakan oleh klinik swasta untuk ujian saringan Covid-19 dikenakan lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Kami (CAP) mengalu-alukan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengenai kawalan harga untuk ujian saringan Covid-19 di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga meminta KKM dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan tersebut.

Katanya jika harga ujian saringan itu tidak dikawal pengguna akan terbeban dengan caj berlebihan yang dikenakan oleh klinik swasta seperti isu pelitup muka yang pernah berdepan dengan masalah harga apabila terdapat peniaga menaikkan harga pelitup muka tanpa kawalan.

Sebelum ini, KKM memaklumkan dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital dan klinik swasta serta pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat. – Bernama, 7 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen