KADAR kebolehjangkitan Covid-19 negara menurun pada jangkaan 0.94 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Seminggu lalu, kadar kebolehjangkitan berada di atas 1.0 R0 (R-naught), tetapi Noor Hisham berkata belum sampai masanya untuk berehat, kerana sasarannya adalah untuk mencapai R0 di bawah 0.6.
Dalam hantara di Twitter pagi ini, Noor Hisham juga berkongsi kadar R0 untuk semua negeri.
Tiga negeri teratas adalah Johor dengan 1.11, disusuli Selangor dan Melaka pada 1.09.
“Negeri lain adalah, Kuala Lumpur dan Sarawak mencatat 1.03, Pulau Pinang (0.97), Pahang (0.97), Labuan (0.96), Terengganu (0.95), Negeri Sembilan (0.93), Kedah (0.87), Perak (0.87), Sabah (0.83), Kelantan (0.8), Putrajaya (0.76) dan Perlis (0.65),” katanya.
Sementara itu, ketika bercakap dengan portal berita Free Malaysia Today, Noor Hisham menjelaskan jika angka R0 lebih rendah daripada 1, penyebaran virus akan lebih lambat dan sistem penjagaan kesihatan tidak akan terbeban.
“Ini memberi pesakit peluang lebih baik dalam pemulihan,” katanya.
“Jika R0 lebih rendah daripada 1, maka setiap 10 orang yang dijangkiti virus berpotensi menyebarkannya kepada 10 individu yang lain.
“Nilai R0 negara adalah 1.16 pada 31 Januari. Sebelum itu, ia perah mencapai 2.2 selepas pilihan raya negeri Sabah, yang diadakan pada 26 September tahun lalu,” tambah Noor Hisham.
Beliau kemudian berkata kadar kebolehjangkitan boleh menjadi lebih rendah jika semua tinggal di rumah dan mematuhi SOP semasa perintah kawalan pergerakan.
“Jika semua dapat tinggal di rumah selama dua minggu, kita akan dapat menghentikan penularannya. Soalnya, mampukah kita?” kata beliau seperti disiarkan dalam portal itu.
Semalam, Malaysia mencatatkan 238,721 kes Covid-19 dengan 50,894 kes aktif. – 7 Februari, 2021.
Komen