SPM, SVM lagi dua minggu, kenapa tutup sekolah, tanya Maszlee


Diyana Ibrahim

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata hanya penjelasan daripada menteri pendidikan sendiri yang akan dapat menenangkan guru, ibu bapa serta pelajar yang terlibat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2021.

MENTERI Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin perlu menjelaskan segera alasan pihaknya membuat keputusan pada saat akhir menamatkan sesi persekolahan bersemuka untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), gesa Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

Hanya penjelasan daripada menteri pendidikan sendiri yang akan dapat menenangkan guru, ibu bapa serta pelajar yang terlibat, katanya.

“Sepertimana ibu bapa, guru dan calon-calon SPM dan rakyat majoritinya, saya pun tertanya-tanya apakah sebab keputusan tersebut dibuat.

“Saya yakin pihak KPM mempunyai alasan dan sebab tersendiri berdasarkan data dan suasana terkini serta maklumat dari pihak MKN dan KKM.

“Isu utamanya ialah penjelasan dari pihak menteri,” kata Maszlee, yang juga bekas menteri pendidikan, dalam satu kenyataan.

Melalui satu pekeliling bertarikh 4 Januari, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM di seluruh Malaysia berakhir pada Selasa ini.

Ia bagi memberi ruang kepada calon untuk membuat persiapan sendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Dr Habibah juga berkata murid di asrama mempunyai pilihan sama ada untuk terus kekal tinggal di asrama atau pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina.

Mereka yang pulang perlu menjalani kuarantin 10 hari sekiranya mahu kembali ke sekolah, atau ada pilihan untuk menukar pusat peperiksaan yang dekat dengan rumah. Pilihan itu perlu dimaklumkan kepada sekolah sebelum Selasa ini, tambahnya.

Menurut Maszlee, Radzi tidak harus menyerahkan perkara seperti ini kepada pegawai untuk membuat penjelasan kerana banyak orang mahu mendengar penjelasan daripada menteri sendiri, dalam suasana pandemik Covid-19 yang menjejaskan banyak aspek pendidikan.

Katanya, rakyat lebih ingin melihat kepimpinan dan kewibawaan menteri untuk berhadapan dengan rakyat dan membuat penjelasan melalui dialog terbuka.

“Itu akan dapat menenangkan suasana,” katanya.

Pada Januari lepas, Radzi mengumumkan hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah bermula 20 Januari lalu.

Bagaimanapun surat pekeliling bertarikh 4 Februari itu memaklumkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal. –  7 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen