HASIL sayur organik diusahakan anggota kariah sebuah surau di Shah Alam menjadi tarikan penduduk yang meminati keluaran tani berkualiti.
Selain itu, Projek Kebun itu juga memberi manfaat kepada komuniti surau Al-Islah di Denai Alam untuk mengisi masa lapang terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Kebun Komuniti surau Al-Islah Roslan Samsuri berkata, projek itu dimulakan beliau bersama sembilan lagi ahli jawatankuasa pada Julai lepas.
Idea tercetus selepas mereka dijemput melawat projek serupa yang diusahakan surau lain di kawasan tersebut, kata Roslan, 60.
“Kami dipelawa buat lawatan di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam. Mereka pun ada buat juga projek kebun komuniti ini.
“Jadi dari situ kami rasa teruja nak buat kebun komuniti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pesara guru itu berkata, mereka menjadikan laman di tepi surau seluas 30 kali 50 kaki sebagai tapak kebun dan memulakan tanaman sayuran seperti kangkung dan bayam merah.
Katanya modal bagi tanaman kebun itu menggunakan wang sendiri yang dikongsi bersama ahli lain selain sumbangan dari pihak surau.

Beliau berkata selepas kejayaan tuaian kali pertama pada Ogos lepas, mereka mempelbagaikan tanaman sayuran dengan tanaman sawi, sawi putih dan bak choy secara hidroponik.
Roslan berkata tuaian sayur-sayuran biasanya akan dilakukan sebulan sekali dan hasilnya akan dijual kepada penduduk setempat dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.
“Biarpun kita jual dengan harga yang lebih murah daripada pasaran namun ada juga penduduk yang membayar lebih kepada kita,” katanya.
Tambahnya, hasil berkenaan biasanya digunakan untuk menambah baik lagi kebun komuniti tersebut.
“Permintaan juga tinggi, sebab sayur kita tidak disembur racun serangga. Biasanya orang akan bagi reaksi, sayur kita letak dalam peti ais dua minggu pun masih segar lagi. Tak layu,” katanya.
Tambahnya projek kebun itu kini bukan hanya melibatkan AJK surau bahkan penduduk setempat juga turut bersama membantu.
Ujarnya mereka kini merancang untuk memperluaskan lagi projek kebun itu dengan mengusahakan kaedah aquaponik iaitu kombinasi gabungan ternakan ikan dan tanaman sayur.

Selain dari mengusahakan projek kebun, komuniti surau Al-Islah juga aktif menggerakkan projek mengumpul minyak terpakai untuk dikitar semula.
Seorang anggota kariah, Sanisah Mohamad, 45, yang mengetuai projek tersebut berkata usaha tersebut dimulakan sejak dua tahun lepas.
Surirumah itu berkata projek itu digerakkan bukan saja sebagai satu inisiatif melestarikan alam sekitar namun ia juga dapat menjana pendapatan tambahan bagi kegunaan surau.
Tambahnya, idea itu juga dimulakan dengan mencontohi projek dari komuniti lain yang dilihat baik untuk digunakan bagi menambah pendapatan surau.
“Sebab surau ini tidak dibiayai mana-mana pihak cuma harapkan derma dari penduduk. Jadi itulah sedikit usaha kecil ini sebenarnya dapat juga membantu,” katanya.
Sanisah berkata kutipan minyak biasanya akan dilakukan setiap tiga bulan sekali dan mereka akan dibayar sebanyak RM250 bagi setiap 110 gelen.
“Tapi sekarang ini harga naik dari RM250 ke RM350 dan sejak PKP kita dapat kutip banyak minyak sebab mungkin ramai yang masak di rumah.
“Jadi kita tak tunggu tiga bulan macam selalu masa PKP ini dua bulan sudah dikutip,” katanya.
Beliau berkata wang hasil kitar semula minyak itu disalurkan di surau bagi kegunaan membayar bil utiliti seperti air, elektrik.– 8 Februari, 2021.
Komen