Kehilangan 4 tahun Pastor Koh terus jadi tanda tanya


Noel Achariam

Isteri Koh, Susanna Liew berkata keluarganya masih kesal dan kecewa dengan sikap berdiam diri pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2021.

SUDAH empat tahun sejak Pastor Raymond Koh hilang, keluarganya masih tidak mendapat sebarang berita walaupun selepas inkuiri awam yang panjang selesai dan jaminan kerajaan bahawa akan ada jawapan berhubung kehilangannya.

Tarikh 13 Februari depan merupakan genap empat tahun kejadian culik Koh oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B / 10, Petaling Jaya, Selangor pada 2017.

Hari ini, ahli keluarga dan peguam mereka akan mengadakan sambutan memperingati pastor tersebut.

Isteri Koh, Susanna Liew, memberitahu The Malaysian Insight yag mereka masih marah dan kecewa dengan sikap berdiam diri pihak berkuasa.

“Empat tahun adalah terlalu lama untuk keluarga kami menderita. Adalah kejam kerana membiarkan kami tanpa jawapan.

“Anak-anak saya juga terkilan kerana tiada penyelesaian tentang kes ini. Kami masih tidak tahu apa-apa,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Keluarga itu akan segera memulakan kempen di Facebook bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lebih efisien.

“Kami menjalan kempen ini untuk memastikan isu kehilangan Koh tetap hidup.

“Kami tidak akan membiarkan masalah ini dilupakan. Harapan kami adalah untuk mengingatkan orang ramai yang penculikan itu adalah pelanggaran hak asasi manusia.”

Kempen bertajuk “4 years on” akan bermula dari 1 hingga 28 Februari di Facebook, memohon pengguna media sosial menukar gambar profil mereka untuk mengingati penculikan Koh.

Jurucakap Citizens Action Group on Enforced Disappearance (Caged) Rama Ramanathan berkata, acara hari ini adalah sempena memperingati Koh.

“Sudah 22 bulan sejak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati yang polis terlibat dalam penculikan Koh.

“Itu dibentangkan ke Parlimen pada 2019, jadi mengapa tiada tindakan oleh pihak berwajib?” – 7 Februari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen