Masyarakat Cina Sarawak puji kerajaan negeri benar sambut Tahun Baharu Cina ikut SOP


Desmond Davidson

Berbanding di Semenanjung, acara makan malam sempena Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan melainkan hanya melibatkan ahli keluarga yang tinggal serumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2021.

MASYARAKAT Cina di Sarawak menyifatkan Kerajaan Negeri lebih bermurah hati dalam membenarkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei di negeri itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik Covid-19/

Sarawak membenarkan 20 ahli keluarga terdekat untuk mengadakan acara makan malam walaupun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berbanding di Semenanjung, acara makan malam sempena perayaan itu tidak dibenarkan melainkan hanya melibatkan ahli keluarga yang tinggal serumah.

Acara rumah terbuka dan sesi ziarah juga tidak dibenarkan di Semenanjung.

Namun di Sarawak, kerajaan negeri membenarkan ahli keluarga terdekat untuk saling menziarah pada hari pertama perayaan itu.

Masyarakat Cina juga dibenarkan menziarahi tokong tetapi perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Namun amalan tradisional seperti tarian singa tidak dibenarkan.

“Ini merupakan perkembangan baik kerana kami dibenarkan berkumpul pada malam Tahun Baharu Cina dan hari pertama dengan maksimum 20 ahli keluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang ketika mengulas tentang SOP itu.

“Memandangkan situasi di Sibu, kami faham jika rumah terbuka tidak dibenarkan.”

ADUN DAP itu bagaimanapun mengingatkan penduduk di pekan Rajang agar mengambil langkah berhati-hati dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

“Kita perlu menjalankan tanggungjawab kita untuk memutuskan rantaian jangkitan.” – 6 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen