KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengkaji semula dasar ujian saringan yang hanya dijalankan terhadap kontak rapat bersimptom Covid-19, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidennya, Dr Subramaniam Muniady berkata ujian saringan perlu dilakukan terhadap kontak rapat sama ada mereka mempunyai simptom atau tidak.
Katanya status kesihatan semua kontak rapat perlu diketahui awal atau wujud risiko jangkitan akan merebak dalam kalangan ahli keluarga di rumah dan komuniti setempat jika mereka melanggar kuarantin.
“Ujian saringan kontak rapat akan membantu pengurusan kes simptom awal Covid-19.
“MMA sekali lagi menggesa KKM untuk mengkaji menggunapakai dasar awal iaitu melaksanakan ujian saringan terhadap semua kontak rapat.
“Dasar KMM buat masa ini hanya melibatkan kontak rapat yang ada simptom,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyebut semula cadangan MMA kepada kerajaan agar menggunakan khidmat kesihatan swasta bagi menjalankan ujian saringan kontak rapat jika sistem kesihatan awam kekurangan tenaga kerja.
Kata Dr Subramaniam kaedah kurantin bagi kes positif tidak bersimptom juga perlu dikaji semula.
Ini kerana katanya kaedah itu boleh menyebabkan penularan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Lebih banyak penjelasan dan kesedaran perlu diberikan tentang SOP kuarantin kendiri di rumah kerana masih ramai belum jelas.
“Kes amat tinggi pada masa ini dan kerajaan tidak boleh pandang ringan isu ini.” – 6 Februari, 2021.
Komen